Menteri Kesihatan, Datuk Seri
Dr Dzulkefly Ahmad
PUTRAJAYA – Jumlah kematian yang tinggi dalam kalangan individu dari
kumpulan yang masih produktif sebagai pekerja akibat rokok adalah
membimbangkan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Memetik
laporan tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beliau berkata, rokok direkodkan sebagai
penyumbang utama kematian dengan 20,000 kematian setiap tahun.
Katanya,
kajian itu juga menunjukkan 22.8 peratus atau lima juta rakyat Malaysia berumur
15 tahun dan ke atas adalah perokok, dengan mereka yang berumur 20 hingga 54
tahun adalah perokok tertinggi, majoritinya lelaki.
“Golongan
ini merupakan kumpulan yang masih produktif sebagai pekerja yang boleh
menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Sudah
tentu kehilangan produktiviti akibat masalah kesihatan termasuk yang
diakibatkan penggunaan hasil tembakau, mendatangkan kebimbangan kepada
kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah dan Pengiktirafan Kempen
Riben Biru 2019 di sini, malam tadi.
Dzulkefly
berkata, tabiat merokok juga adalah faktor utama kepada risiko berlakunya
penyakit-penyakit jantung dan saluran pulmonari yang menyumbang kepada 15.7
peratus daripada 20,000 kematian yang direkodkan.
Katanya,
lebih membimbangkan apabila satu pertiga atau 2.8 juta penduduk negara ini yang
merupakan perokok pasif, juga mengalami kesan kesihatan yang negatif seperti
perokok aktif.
Dzulkefly
berkata, pelaksanaan Kempen Riben Biru menjadi inisiatif terbaik, ke arah
mengurangkan amalan merokok sekali gus menjadi pendokong kepada usaha kerajaan,
dalam mewartakan tempat-tempat awam sebagai kawasan larangan merokok.
Katanya,
pewartaan larangan merokok di semua premis makanan berkuatkuasa Januari tahun
depan juga diasaskan daripada program riben biru, yang dimulakan 117 premis
makan awam yang secara sukarela, melarang aktiviti merokok di kedai
masing-masing demi menjaga kepentingan pelanggan yang tidak merokok.
“Ini
menunjukkan sokongan padu pengusaha kedai makan dalam menjaga kesihatan rakyat
Malaysia walaupun pada ketika itu tempat makan terbuka masih belum diwartakan,”
katanya.
Pada
majlis itu, sebanyak 181 premis dan komuniti menerima pengiktirafan premis
bebas asap rokok dalam tiga kategori iaitu Anugerah Blue Ribbon Beyond
membabitkan tujuh premis awam, Anugerah Blue Ribbon (154) dan Anugerah Blue
Ribbon Komuniti (20).
Diperkenal
sejak 2013, Kempen Riben Biru adalah satu program advokasi inisiatif Kempen
Malaysia Bebas Asap Rokok, bertujuan mengiktiraf individu, organisasi serta
komuniti yang telah memberikan sumbangan bermakna untuk melindungi orang awam
daripada bahaya asap rokok. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan