HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 November 2019

Politik orang Melayu terlalu ikut sentimen, mudah dihasut

ainulillia

 

Tidak ada strategi jelas punca mereka terus kena `jual'

BANGI – Masalah utama yang didepani oleh senario politik orang Melayu ketika ini adalah terlalu mengikut sentimen dan begitu mudah dihasut. 

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman menjelaskan, sebagai contoh dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya meniupkan sentimen membenci Perdana Menteri pada ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau mendakwa, hasil daripada hasutan berkenaan masyarakat berduyun-duyun membuang undi untuk Pakatan Harapan (PH).

“Sekarang mereka kasihan pula akan Datuk Seri Najib, dan membenci PH. Maka, berduyun-duyun pula undi Barisan Nasional (BN).

“Mereka tidak ada strategi sebab itu mereka akan terus kena jual,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam PRU-14 gabungan PH berjaya menumbangkan kerajaan yang sudah terbentuk sejak lebih dari 60 tahun lalu Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah penubuhan Malaysia.

Dipercayai punca kemenangan PH dalam pilihan raya berkenaan adalah kerana memainkan sentimen-sentimen besar antaranya skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan hubungan baik dengan China yang didakwa mereka sebagai mahu menjual negara.

Namun begitu, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai baru-baru ini, calon PH tewas kepada calon BN pada majoriti 15,086 undi.

Dipercayai perubahan sokongan ini adalah manifestasi terhadap kegagalan kerajaan sedia ada dalam memenuhi janji kepada rakyat.


Tiada ulasan: