HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 November 2019

Rumah sewa terbakar, 16 penghuni tinggal sehelai sepinggang

Astro Awani |
Rumah sewa terbakar, 16 penghuni tinggal sehelai sepinggang
Angin kuat menyebabkan api cepat marak dan usaha mengawal kebakaran sukar dilakukan pihak bomba. - Astro AWANI
 

KUALA TERENGGANU: Enam belas penghuni sebuah rumah sewa tinggal sehelai sepinggang selepas premis dua tingkat itu musnah dalam kebakaran di Kampung Padang Hiliran di sini, pada Ahad

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Seorang mangsa, Mohd Takir Sulaiman berkata, dia bersama lima penyewa lain bertempiaran lari dari bilik masing-masing sebaik menyedari api marak di kediaman yang mempunyai 21 bilik itu.

Walaupun mengalami sejarah patah pada bahagian badan sejak dua bulan lalu, dia tetap berusaha menyelamatkan diri.

“Saya yang nampak asap. Selepas itu, saya panggil penyewa lain. Pada masa itu, api sudah terlalu marak dan saya cuma boleh minta semua keluar daripada rumah.

“Pada mulanya, saya ingin masuk kembali ke dalam rumah untuk menyelamatkan barangan berharga tetapi gagal kerana asap tebal dan pergerakan saya terbatas kerana kecederaan saya,” katanya.

Rakannya, Mohd Nazrul Mohd Yusof, mengalami kerugian hampir RM20,000 termasuk peralatan muzik dalam kebakaran itu.

“Semasa kebakaran, asap berkepul-kepul masuk ke dalam bilik saya. Saya ingin memadamkan api tetapi tidak boleh.

"Saya terjatuh dalam bilik air dan asapnya terlalu tebal. Bagaimanapun, saya sempat ambil barang yang saya ingin ambil dan satu alat muzik,” katanya yang merupakan seorang pemuzik.

Api marak dengan cepat akibat angin kuat. - Astro AWANI
Api marak dengan cepat akibat angin kuat. - Astro AWANI

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mohd Norshah Shahri berkata pihaknya dengan kekuatan 20 anggota dan empat jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 7.30 malam.

“Sekarang musim angin kuat, menjadikan api marak. Ia menyebabkan kami sukar untuk mengawal api tetapi kami dapat mengawal kebakaran dalam masa 25 minit,” jelasnya.

Beliau berkata, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Api berjaya dipadamkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dalam masa 25 minit. Astro AWANI
Api berjaya dipadamkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dalam masa 25 minit. Astro AWANI
 
 

Tiada ulasan: