HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 November 2019

Bekas hakim gesa pisah kuasa peguam negara dengan pendakwa raya

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku 
Munawir (tengah) melancarkan buku biografi bekas hakim KC 
Vohrah (kiri) malam tadi.
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta tidak menangguhkan langkah untuk memisahkan kuasa antara Jabatan Peguam Negara dengan Pejabat Pendakwa Raya bagi memastikan kedaulatan undang-undang terpelihara.

Bekas hakim Mahkamah Rayuan KC Vohrah berkata, dengan itu pendakwa raya boleh menjalankan tugas mereka tanpa dipengaruhi oleh politik, sementara peguam negara boleh berperanan sebagai penasihat kerajaan seperti diamalkan di kebanyakan negara demokrasi.

“Ia perlu dilakukan. Pendakwa raya harus bebas bertindak berdasarkan keterangan,” katanya dengan menambah bahawa langkah ini memerlukan pindaan ke atas Perkara 121 perlembagaan persekutuan bagi memulihkan kuasa pendakwa raya.

Vohrah bercakap kepada pemberita selepas pelancaran buku tulisan beliau berjudul “Finding a Footing in the Law” oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Buku setebal 500 halaman itu dibahagikan kepada 10 bahagian. Ia meliputi koleksi artikel dan tulisan Vohrah kepada akhbar selain syarahannya.

Vohrah pernah bertugas sebagai peguambela, peguamcara pendakwa, penasihat undang-undang, wakil guaman kerajaan, peguamcara Perbendaharaan dan penimbangtara.

Beliau, yang sebelum ini merupakan anggota Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) untuk memeriksa semak dan imbang dalam institusi penting berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum tahun lepas berkata, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut mendesak supaya langkah memisahkan kuasa dua fungsi itu diambil.

Tahun lepas Perdana Mneteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat bagi membolehkan pindaan untuk memisahkan kuasa peguam negara dan pendakwa raya dibuat.

Ketika ditanya sama ada kerajaan telah melaksanakan pembaharuan yang dicadangkan oleh IRC, Vohrah berkata, sekurang-kurangnya 4 atau 5 syor telah dilaksanakan.

“Kami gembira Mohamad Ariff Md Yusof (bekas hakim) dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat.

“Kami mahu lebih banyak jawatankuasa pilihan diwujudkan di Parlimen. Itu juga telah dilakukan.
Beliau berkata, IRC juga mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus diperkuatkan.

Tiada ulasan: