HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 November 2019

Timb speaker cadang Shahidan sertai acara terjun Olimpik

Hasfaizi Zain  



Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mencadangkan agar Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menghantar Shahidan Kassim (BN- Arau) menyertai kejohanan acara sukan terjun.

Cadangan secara berseloroh itu dilontarkan Nga ekoran tindakan anggota parlimen Arau itu yang dilihat melencong daripada perkara asas pada sesi perbahasan di parlimen hari ini.

"Mungkin Yang Berhormat menteri boleh pertimbang hantar YB (yang berhormat) Arau pergi acara terjun dalam Olimpik," kata Nga sambil menghentikan ucapan Shahidan.

Shahidan yang mengambil bahagian berbahas terlebih dulu menyifatkan Syed Saddiq mungkir janji dalam beberapa isu politik.

Ia susulan pendirian Ketua Pemuda Bersatu (Armada) itu yang bertegas mahukan tindakan diambil terhadap wakil rakyat DAP, Ronnie Liu yang mengkritik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Saya menyokong menteri ini beberapa tindakannya cukup hebat, tapi bila YB mungkir janji saya kecewa.

"YB kata akan buat perarakan di pejabat DAP kalau tidak ada apa tindakan kepada Ronnie Liu dan beberapa orang yang lain," katanya

Kenyataan Shahidan itu mendapat bantahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang menyifatkannya sebagai tidak berkaitan perbahasan perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa membabitkan Kementerian Belia dan Sukan.

Sementara itu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mencelah pada sesi perbahasan meminta supaya Kelantan diberi peluang untuk menganjurkan kejohanan Sukan Malaysia (Sukma).

Katanya, adalah tidak adil untuk Kelantan tidak diberi peluang menganjurkan sukan itu sedangkan negeri lain seperti Johor menganjurkannya untuk kali kedua.

Hassan membangkitkan perkara itu ketika mencelah ucapan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang meminta agar kerajaan memberi peluang kepada Kelantan menganjurkan Sukma pada 2024.


Tiada ulasan: