HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 November 2019

Parlimen tiada hak arah isteri, anak wakil rakyat isytihar harta

Shawaliah Hadir
MGF28112019_SIDANG-PARLIMEN_17
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
 

KUALA LUMPUR – Parlimen tidak ada hak untuk memerintahkan pengisytiharan harta dalam kalangan isteri dan anak wakil rakyat, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, ini kerana yang terlibat dalam Dewan Rakyat hanyalah wakil rakyat sahaja.

“Parlimen tidak ada kuasa dapatkan maklumat harta daripada isteri ahli parlimen sebab itu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ( Datuk Mohamaddin Ketapi) tidak isytihar harta  isterinya,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau terdahulu diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pesuruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Latheefa Koya bahawa hanya Speaker Dewan Rakyat boleh mengambil tindakan kepada ahli parlimen yang enggan mengisytiharkan harta mereka.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas itu berkata, meskipun speaker mempunyai kuasa namun tindakan tidak boleh diambil sebaliknya perlu melalui peringkat perbincangan dengan Jawatankuasa Pemilih.

“Yang gantung (hak speaker) dia tak ada hak gantung, speaker pun tidak boleh gantung terus, dia kena bawa ke Jawatankuasa Pemilih, Jawatankuasa akan tengok semuanya dulu bukan mudah sebegitu sahaja nak gantung Ahli Parlimen,” ujarnya.

Untuk rekod, Dewan Rakyat pada 1 Julai lepas sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua ahli parlimen mengisytiharkan harta masing-masing, dengan semua ahli parlimen perlu mengisytiharkan harta masing-masing selain isteri atau suami, anak serta pemegang amanah dalam akuan berkanun.

Tuan Ibrahim selain itu berpendirian bahawa ahli parlimen pembangkang tidak wajar untuk mengisytiharkan harta kerana tidak akan terlibat dalam penyelewengan dan tidak menerima secara langsung peruntukan untuk projek kawasan tempatan sebaliknya ia disalurkan kepada agensi dan wakil rakyat kerajaan.

Tarikh akhir pertama untuk pengisytiharan harta ialah 1 Oktober dan kemudian dilanjutkan pada 5 Disember ini.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata ahli parlimen yang masih enggan mengisytiharkan harta mereka pada 5 Disember ini boleh dianggap menghina Dewan.

Beliau yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang berkata di bawah Perintah Parlimen, Ahli Parlimen boleh didenda RM1,000 atau digantung daripada Dewan.

Dilaporkan kesemua ahli parlimen pembangkang masih belum mengisytiharkan harta mereka.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: