HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 November 2019

MP cadang nyanyi Negaraku, baca Rukun Negara sebelum bersidang


Seorang anggota Dewan Rakyat hari ini mencadangkan semua anggota parlimen menyanyikan lagu Negaraku dan membaca rukun negara sebelum sesi persidangan bermula.

Cadangan itu dilontarkan Salim Sharif (BN- Jempol) bagi menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan anggota Parlimen.

"Dalam kita memperkukuhkan kesetian kita kepada negara apakah pihak kementerian, sebelum kita memulakan (sidang) adakah baiknya kita menyanyikan lagu Negaraku dan membaca rukun negara.

"Agar terserap dalam jiwa kita bahawa kita memegang undang-undang yang ada dalam negara dan juga kecintaan kita pada negara," katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab di Parlimen, pagi tadi.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy menjawab soalan berhubung inisiatif kerajaan untuk meningkatkan semangat cintakan negara serta apakah tindakan kerajaan terhadap mereka yang mempertikaikan tugas dan tanggungjawab sultan, tentera, polis dan lain-lain.

Soalan itu dibangkitkan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang).

Menjawab cadangan anggota BN itu, Waytha berkata saranan supaya persidangan Dewan Rakyat dimulai dengan menyanyikan lagu Negaraku dan membaca rukun negara adalah sangat baik.

"Mengenai cadangan yang berhormat, adakah pihak kementerian, sebelum kita memulakan adakah baiknya kita menyanyikan lagu Negaraku dan membaca rukun negara.

"Saya berpendapat itu adalah satu cadangan yang amat-amat bagus dan mungkin boleh Tan Sri Speaker buat ruling," katanya.

Menjawab mengenai pertanyaan berkaitan tindakan diambil terhadap mereka yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik sebagai tanda protes, Waytha berkata pihak berkuasa telah mengambil tindakan tegas terhadap mereka terbabit.
 
 LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: