HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 November 2019

Pengantin redah banjir naik jentolak [METROTV]

Syaherah Mustafa
 

 
PASANGAN pengantin baru terpaksa diarak menaiki jentolak dengan diiringi pelbagai jentera berat mengharungi banjir sejauh 3 kilometer (km), di Kampung Telaga Mas, Rantau Panjang, hari ini.

Pasangan terbabit, Mohd Abd Rozaid Othman, 25, dan isteri, Nor Afiqah Mohd Balsu, 24, meluahkan rasa syukur majlis berjalan lancar, walaupun urusan menggunakan jentera berat itu dirancang pada saat akhir, selepas kampung itu dilanda banjir.

Mohd Abd Rozaid yang juga pemandu mesin padi berkata, dia tidak menyangka majlis perkahwinan itu disambut meriah dengan diiringi lima traktor, tiga jengkaut, sebuah mesin padi, sebuah treler dan empat lori kecil milik rakan-rakanya.

Katanya, dia sudah mengagak bahawa majlisnya akan berlangsung ketika banjir, namun terpaksa diteruskan memandangkan isterinya sukar mendapatkan cuti.

“Saya diarak menaiki jengkaut yang dihias indah dengan bunga manggar mengharungi air separas 0.5 meter (m) dan dihantar sehingga ke depan rumah pengantin perempuan.

“Biarpun dengan cuaca yang mendung dan hujan, ia tetap meriah ditambah dengan sokongan serta bantuan penduduk kampung yang rata-ratanya terhibur dengan keunikan sambutan perkahwinan kami hari ini.

“Tidak cukup dengan itu perkarangan rumah isteri saya juga sudah dilimpahi air banjir menyebabkan tetamu terpaksa menjamu selera sambil berendam kaki separas 0.5 m,” katanya ketika ditemui selepas majlis perkahwinanya di Kampung Telaga Mas, Rantau panjang, hari ini.

Sementara itu, Nor Afiqah meluahkan rasa teruja biarpun pada awalnya bersedih memikirkan nasib majlis mereka selepas air sudah mula melimpah sejak semalam.

“Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar namun saya memohon maaf kepada tetamu yang hadir jika berasa tidak selesa. Majlis perkahwinan saya ini pasti akan diingati sampai bila-bila kerana memiliki keistimewaan tersendiri.

“Saya ada diberitahu suami tentang rancangan untuk berarak menaiki jengkaut namun tidak menyangka ia menjadi kenyataan lebih-lebih lagi dengan banjir yang melanda.

“Bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu termasuk saudara mara dan ahli keluarga kerana menjadikan majlis perkahwinan saya sesuatu kenangan yang istimewa,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: