HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 November 2019

Allah saksi saya, letak jawatan kalau bersalah – Syed Saddiq

Wartawan MalaysiaGazette
MGF29102019_SIDANG-PARLIMEN_06
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – “Allah saksi saya, kalau ada salah guna kuasa, penyelewengan, dan SPRM membuktikan ini salah guna kuasa, saya akan menjadi yang pertama meletakkan jawatan.”

Itu janji Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjawab dakwaan pembangkang untuk meletakkan jawatan jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatinya bersalah atas dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Syed Saddiq menjawab pertanyaan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) sama ada beliau akan meletakkan jawatan jika didapati berkait dengan pengagihan kontrak secara rundingan terus.

Terdahulu, Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mendakwa beliau mempunyai bukti kontrak bernilai RM7 juta diberikan kepada sebuah syarikat untuk mengendalikan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Melaka, Selangor dan Perlis.

Jalaluddin juga menyenaraikan nama syarikat di beberapa negeri berbeza, yang diberikan kontrak berjuta-juta.

Syed Saddiq ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2020 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya berkata era menteri memberikan kontrak secara rundingan terus sudah berakhir.

Beliau berkata mereka yang berkelayakan boleh memohon tanpa campur tangan menteri.

“Semua kontrak perlu melalui e-perolehan (sistem tender kerajaan) dan kemudian melalui proses penilaian yang lain,” katanya.

Beliau berkata proses penilaian melibatkan pegawai kementerian kanan melalui butiran teknikal dan kewangan, diikuti pemeriksaan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya.

“Adalah sukar untuk disalah gunakan. Kami membenarkan penjawat awam membuat keputusan kerana mereka mengikut tatacara operasi standard,” katanya.

Malah Syed Saddiq memaklumkan kepada pegawainya untuk melaporkan tuduhan salah laku dalam pemberian kontrak seperti yang tular di media sosial kepada SPRM.

Syed Saddiq kemudian memberitahu ahli Parlimen pembangkang beliau tidak takut menerima cabaran meletakkan jawatan.

Namun beliau mengingatkan mereka terdapat projek-projek tender terus dan terhad, termasuk projek terbengkalai yang membazirkan wang pembayar cukai bawah pentadbiran Barisan Nasional.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: