HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 November 2019

300 penduduk terputus hubungan

Ramli Ibrahim
 


LEBIH 300 penduduk Orang Asli di Kampung Pasir Linggi dan Machang, terputus hubungan apabila jambatan Sungai Lebir tenggelam sejak petang semalam.

Ini berikutan hujan lebat sejak tiga hari lalu menyebabkan jambatan yang menghubungkan kampung berkenaan ditenggelami air bermula 3 petang.

Pengerusi Majlis Pemuafakatan Kampung Orang Asli Kampung Pasir Linggi, Mohd Alang Sakarwi, 40, berkata, dua kawasan laluan ke kampung itu dinaiki air.

Katanya, selain jambatan, satu lagi jalan kawasan rendah berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi turut tenggelam 1.5 meter.

“Kampung itu kerap terputus hubungan kerana jambatan Sungai Lebir mudah tenggelam dan mengambil masa beberapa hari untuk surut.

“Keadaan banjir itu juga bergantung kepada hujan dan jika berterusan penduduk berdepan masalah terputus hubungan

“Penduduk juga mahu keluar ke bandar Gua Musang atau Kuala Krai terpaksa menyeberangi sungai itu menggunakan bot,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan Kampung Pasir Linggi terputus kerana jambatan Sungai Lebir ditenggelami air.

Beliau berkata, pihaknya mengarahkan anggotanya supaya sentiasa memantau perkara itu dan setakat ini hanya kampung berkenaan yang terputus hubungan.

Sementara itu, penduduk, Bolek Lilin, 75, berkata, mereka sentiasa berjaga-jaga untuk berpindah jika keadaan air Sungai Lebir itu terus naik.

Katanya, persediaan itu bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam banjir berikutan semua laluan terputus.

“Kita juga minta pihak terbabit supaya sentiasa memantau perkembangan banjir bagi mengelakkan penduduk berdepan dengan banyak masalah terutama bekalan makanan,” katanya.

Tiada ulasan: