HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 November 2019

Isu Chin Peng: Luka lama berdarah kembali

siti hafidah

 

Wujud agenda hidupkan semula fahaman komunisme di Malaysia


 BANGI – Tidak keterlaluan jika dikatakan agenda komunis kini didalangi oleh rangkaian antarabangsa yang besar dakwa, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau mendakwa, terdapat pihak sengaja mengangkat pemimpin komunis sebagai pejuang kemerdekaan, mengubah sejarah, membawa balik abu Chin Peng dan menghina Jalur Gemilang.

“PAS percaya anasir yang bertanggungjawab mencetuskan perkara itu akan terus melaksanakan pelbagai tindakan lagi bagi memastikan agenda komunisme menjadi dominan di Malaysia.

“Sehubungan itu, PAS berharap agar rakyat Malaysia bersatu padu dan berhati-hati dengan ancaman komunisme.

“Rakyat juga diminta untuk tidak mengambil tindakan balas di luar batas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, negara dikejutkan apabila abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng rupa-rupanya dibawa pulang ke Perak pada 16 September lalu selepas enam tahun kematiannya.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan di Sitiawan, Perak pada 1924 dan tinggal dalam buangan di Thailand sejak Perjanjian Damai Hat Yai 1989.

Beliau pernah diburu pihak berkuasa Malaysia susulan pemberontakan PKM yang menyebabkan ramai rakyat negara ini terbunuh.

Chin Peng sebelum ini pernah memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia bagi dirinya sendiri dan PKM, menuntut kerugian serta menghalang kerajaan Malaysia atau ejen-ejen daripada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai mereka.

Namun, selepas kematian Chin Peng, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerajaan sama sekali tidak akan membenarkan abu mayat Setiausaha Agung PKM itu dibawa balik ke negara ini.

Lantaran itu, Tuan Ibrahim menggesa, pihak keselamatan segera mematahkan cubaan menyebar semula agenda komunis di negara ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut mengingatkan, ramai pihak untuk tidak menggugat keharmonian rakyat pelbagai kaum dengan ancaman komunisme.

“Komunis melakukan pemberontakan bersenjata di Malaysia sehingga mengorbankan ribuan nyawa termasuk perajurit negara. Luka lama akan berdarah kembali.

“Komunis bukan hanya mahu menyebarkan ideologi sahaja tetapi mahu merampas kedaulatan dan kepimpinan negara,” katanya.


Tiada ulasan: