HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 November 2019

Pos Malaysia rugi RM35.4 juta

Norlaile Abd Rahman

Pos-Malaysia


KUALA LUMPUR– Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mencatatkan perolehan sebanyak RM550 juta, menyusut 6.6 peratus pada suku kedua berakhir 30 September 2019 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Penyusutan itu didorong terutamanya prestasi rendah perkhidmatan pos, kurier dan penerbangan yang telah mengakibatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM35.4 juta berbanding kerugian RM19 juta dicatatkan tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Syed Najib Md Noor berkata, kerugian tersebut disebabkan oleh penurunan berterusan jumlah mel sebanyak 14 peratus berbanding tahun lepas di samping peningkatan kos yang terpaksa ditanggung syarikat susulan pematuhan Obligasi Perkhidmatan Universal (USO) bagi memenuhi permintaan akibat peningkatan pertumbuhan alamat di seluruh negara.

“Perubahan pada landskap pos global telah menyebabkan kami terpaksa menyemak semula regulasi tarif pos daripada kerajaan yang dijangka dapat dilaksanakan pada awal tahun depan.

“Pos Malaysia kini melabur dalam Transformasi Digital termasuk meluaskan kapasitinya dalam menyediakan perkhidmatan kepada pasaran e-dagang yang semakin tumbuh pesat.

“Jualan atas talian 9/9 baru-baru ini menyaksikan Pos Malaysia perlu menguruskan 800,000 bungkusan yang juga merupakan satu rekod baharu syarikat kurier kebangsaan.

Dalam pada itu, Pusat Pembungkusan Bersepadu (IPC) kedua di KLIA yang telah dilancarkan pada April 2019 menyaksikan peningkatan 78 peratus daripada kapasitinya kepada 530,000 sehari berbanding 300,000 bungkusan sebelum ini.

Manakala sejumlah RM100 juta telah digunakan ke atas sistem terasnya bagi meningkatkan kepuasan pengguna yang menggunakan platform digital. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: