THE MALAYSIAN TIMES
PETALING JAYA: Pemecatan Mizan Adli Mohd Noor dan Mohd Ramly Ahmad, masing-masing daripada jawatan Pengerusi Tetap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Timbalan Pengerusi Tetap AMK dibuat mengikut bidang kuasa sayap, sama sekali tidak menjejaskan pendaftaran PKR dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) .
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata hanya parti induk dan cabang PKR berdaftar di bawah RoS, bukannya sayap AMK serta Wanita.
“Pendaftaran Keadilan (PKR) dan pendaftaran cabang (PKR) itu yang ada dengan pihak RoS, bukan sayap AMK atau Wanita. AMK dan Wanita tidak berdaftar dengan RoS,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Keadilan di sini hari ini.
Menjelaskan bahawa tindakan perlucutan jawatan itu antara lain bagi memperbaiki aspek pentadbiran parti, Fahmi berkata: “Jadi mengikut pandangan pimpinan pada waktu ini, ia tidak menjejaskan satu perkara pun dalam isu yang dibangkitkan (risiko pengharaman parti).”
Pada Rabu, Setiausaha AMK Ahmad Syukri Razak dalam suratnya memaklumkan kedua-dua Mizan Adli dan Mohd Ramly bahawa mereka dilucutkan jawatan masing-masing kerana wujud keraguan dalam proses pemilihan mereka.
Semalam, media melaporkan kedua-dua Mizan Adli dan Mohd Ramly menyatakan pemecatan mereka boleh menyebabkan risiko PKR diharamkan, lantas meminta kepimpinan menyiasat perkara itu segera secara profesional.
Mengulas kenyataan media Timbalan Pengerusi AMK Muhammad Hilman Idham hari ini yang mahu kepimpinan parti menarik semula perlucutan jawatan itu memandangkan ia dengan jelas melanggar peruntukan termaktub dalam perlembagaan parti, Fahmi berkata: “Saya belum baca kenyataan penuh, jadi saya belum boleh berikan komen.”
Mengenai Kongres Nasional PKR 2019, yang akan berlangsung pada 5 hingga 8 Dis di Melaka, beliau berkata ia akan disertai 2,617 perwakilan daripada 221 cabang seluruh negara.
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucapan dasar pada Sabtu (7 Dis),
sementara Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, akan merasmikan Kongres Nasional AMK pada Jumaat (6 Dis) dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijadual merasmikan Kongres Nasional Wanita PKR pada Khamis (5 Dis).
“Ini adalah satu kongres yang cukup bersejarah kerana ia akan jadi platform penting bukan sahaja untuk menilai mutu persembahan wakil-wakil rakyat dari Keadilan, tapi juga dasar kerajaan serta mendengar gagasan, amanat dari presiden Keadilan,” katanya. —Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan