HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 November 2019

Mahkamah benarkan penangguhan hukuman penjara enam bulan ke atas Adam Rosly

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara enam bulan atas kesalahan memberi kenyataan palsu dan mengemukakan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2017.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan perkara itu selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim yang mewakili pihak pendakwaan dan peguam Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir yang mewakili Adam Rosly.

“Setelah mempertimbangkan hujahan daripada kedua-dua pihak mahkamah membenarkan permohonan pemohon untuk penangguhan hukuman (penjara) sementara rayuan di Mahkamah Rayuan diputuskan.

Pemohon juga dibenarkan ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan tertakluk kepada syarat-syarat berikut iaitu menyerahkan pasport antarabangsanya, melapor diri di balai polis berhampiran dengan kediaman sekali setiap dua minggu bermula pada tarikh hari ini,” katanya.

Pada 25 Nov lepas, Adam Rosly, 31, gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam bulan serta denda RM30,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ke atasnya pada 26 April 2018, atas enam kesalahan memberi kenyataan palsu dan mengemukakan dokumen palsu kepada SPRM semasa siasatan berhubung dakwaan berkaitan kekayaannya yang luar biasa.

Terdahulu dalam hujahannya, Nizam Bashir berkata pihaknya telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada 25 Nov 2019.

“Lazimnya mana-mana rayuan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk didengar di Mahkamah Rayuan. Justeru, penangguhan hukuman wajar diberikan agar pemohon tidak menjalani tempoh pemenjaraan yang panjang,” katanya.

Bagaimanapun, Nik Haslinie membantah permohonan tersebut kerana Adam Rosly telah didapati bersalah dan disabitkan terhadap kesemua pertuduhan.

Beliau berkata, sekiranya mahkamah berpendapat penangguhan pelaksanaan hukuman wajar diberikan pihaknya memohon supaya wang jaminan dinaikkan beserta syarat tambahan di mana pemohon perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga rayuan selesai.

Bagi dua pertuduhan pertama, Adam Rosly didakwa memberi kenyataan palsu ketika percakapannya dirakamkan dua pegawai penyiasat SPRM, mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kenyataan itu berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, pendapatan, kenderaan mewah, banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu, Ampang, yang dibeli secara tunai, pinjaman RM200,000 daripada ibu mentua dan neneknya serta pinjaman wang daripada ‘Ah Long’ sebanyak RM500,000.

Bagi empat pertuduhan lagi, dia didakwa menggunakan dokumen perjanjian palsu daripada dua individu dan dua baucar tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM, mengikut Seksyen 89 akta sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 9 pagi hingga 12.15 tengah hari pada 10 Feb 2017, dan antara 9 pagi hingga 2 petang, pada 22 Feb tahun sama.

Pertuduhan itu membawa denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, bagi setiap sabitan kesalahan.—Bernama 

Tiada ulasan: