HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 November 2019

BERUBAH SEBELUM REBAH, SLOGAN BN DULU YANG KINI SESUAI UNTUK PH DAN TUN M


Walaupun sudah 18 bulan menjadi kerajaan, keyakinan rakyat terhadap PH nampaknya masih ditahap rendah dan membimbangkan.
Sebuah kajian oleh Emir Research, kepunyaan Dr Rais Hussin, Pengerusi Biro Dasar dan Strategik Bersatu yang juga merupakan Ahli MPT Bersatu baru-baru ini antara lain mendapati:-

⁃ Hanya 24% rakyat Malaysia berpendapat kerajaan PH berdaya maju (viable),
⁃ 30% rakyat Malaysia berpendapat kerajaan PH tidak berdaya maju (not viable) dan,
⁃ 46% tidak pasti sama ada kerajaan PH berdaya maju (viable) atau tidak (not viable).
⁃ Hanya 26% rakyat Malaysia berpendapat ekonomi negara berada pada kedudukan yang kukuh,
⁃ 30% rakyat Malaysia berpendapat ekonomi negara tidak berada pada kedudukan yang kukuh dan,
⁃ 44% tidak pasti sama ada ekonomi negara berada pada kedudukan yang kukuh atau tidak.
⁃ Hanya 26% rakyat Malaysia berpendapat masa depan negara berada pada trek yang betul,
⁃ 24% rakyat Malaysia berpendapat masa depan negara tidak berada pada trek yang betul dan,
⁃ 50% tidak pasti sama ada masa depan negara berada pada trek yang betul atau tidak.

Kajian juga mendapati, mereka yang berpendapat kerajaan PH tidak berdaya maju (not viable) atau tidak pasti sama ada kerajaan PH berdaya maju (viable) atau tidak (not viable) adalah terdiri 81% Melayu, 78% India dan 63% Cina.

Kajian atau kaji selidik ini diketuai oleh tiga orang pensyarah dari sebuah universiti awam tempatan, UIA, iaitu:

(1) Professor Dr Mohamad Sahari Nordin dari Kulliyyah of Education.

(2) Assistant Professor Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences dan,

(3) Assistant Professor Dr Margarita Peredaryenko (Dr Rais Hussin Mohamed Ariff) dari Kulliyyah of Economics and Management Sciences.

Kaji selidik ini dijalankan antara 5 September hingga 10 Oktober 2019 lalu dengan membabitkab 1,992 responden.

Berdasarkan apa yang selalu kita dengar, lihat dan perhati di sekeliling sekarang ini, hasil kajian ini ternampak sangat munasabah dan berpijak di bumi nyata.

Dalam erti kata kain, inilah keadaan yang sedang berlaku di negara kita.

Apa yang harus dilakukan oleh PH?

Tidak lain, PH harus mengambil positif hasil kajian ini dan mesti segera berubah jika ingin terus kekal sebagai kerajaan.

PH harus menyemak kembali janji-janji manifesto mereka dan bandingkan dengan perlakuan mereka sendiri sebagai kerajaan sejak 18 bulan lalu.

Berubah sebelum rebah – slogan BN dahulu adalah sesuai sekali menjadi pegangan kerajaan PH sekarang ini.

Harus diingat, kesatuan rakyat berubah menolak BN dalam PRU14 lalu adalah kerana mereka yakin PH mampu menjadi kerajaan yang lebih baik berdasarkan janji-janji manifesto yang diungkapkan.

Selain itu, ada juga tanggapan, selain menteri-menteri yang tidak meyakinkan, masalah utama PH sekarang ialah Tun Mahathir Mohamad yang nampak keberatan untuk berubah sesuai dengan aspirasi reformasi Malaysia Baru, sebaliknya lebih cenderung berundur merindui zaman PM4 dahulu.

Ia antara lain, walaupun rakyat diyakinkan sebelum PRU14 dahulu beliau hanya mahu jadi Perdana Menteri untuk dua tahun saja, malangnya setelah kuasa dalam genggaman, sehingga sekarang tarikh peralihan kuasa masih lagi dalam kekaburan.

Dalam hal ini, Tun Mahathir tiada pilihan lain melainkan segera berubah, bukan saja berkaitan kerajaan dan pentadbiran, malah juga mengubah dirinya.

Jika enggan dan tidak mengambil iktibar daripada Najib Razak dahulu yang enggan berubah, maka rebahlah jawapannya.

Tiada ulasan: