HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Disember 2020

Jangan Terpedaya Usaha Terdesak Pihak Lawan Untuk Memecah Solidariti UMNO

 UMNO ONLINE

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata, ternyata pihak tertentu sudah terdesak sehingga mahu mencari jalan murahan untuk cuba mengucar-kacirkan UMNO.

Beliau berkata demikian berhubung dengan tindakan pihak tertentu menggantung kain rentang berbaur hasutan yang berlaku di sekitar Shah Alam.

“Namun, insya-Allah usaha itu akan gagal. Ahli UMNO tidak mudah terpedaya dengan taktik kotor dan akan terus bersemangat bergerak sepasukan dalam soal memperjuang isu rakyat mahupun dalam menghadapi PRU15 kelak,” ujarnya dalam satu kenyataan melalui laman facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Dendera Billah Zamzuri telah mengeluarkan kenyataan tegas dan memfailkan laporan polis bahawa kain rentang yang digantung di sekitar Shah Alam dengan desakan meminta Presiden UMNO undur, tiada kena mengena langsung dengan Pemuda UMNO.

Jelas Shahril, kewujudan kain-kain rentang tersebut adalah tindakan pihak musuh dengan harapan mahu memecahbelahkan solidariti.

“Sepertimana digambarkan kenyataan YB Rizam Ismail selaku Ketua Pemuda UMNO Selangor, kewujudan kain-kain rentang tersebut yang sengaja dibuat seolah-olah dari Pemuda UMNO adalah tindakan pihak musuh tidak bertanggungjawab dengan harapan mahu memecahbelahkan solidariti,” katanya lagi yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. – UMNO Online

Tiada ulasan: