HANYA khabar angin. Itu maklum balas diberikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung laporan mendakwa terdapat segelintir ahli Parlimen menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus berkhidmat sehingga pilihan raya umum akan datang.
Katanya, tiada siapa yang datang kepadanya bagi tujuan untuk menandatangani SD terbabit dan beliau hanya mengetahui mengenai hal itu dari laporan berita dibacanya.
“Saya baru baca semalam, tiada dalam pengetahuan kami (tandatangan SD), yang saya tahu pada 21 Februari akan diadakan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan di Yayasan Kepimpinan Perdana. Kami akan bermesyuarat seperti biasa, itu sahaja yang saya tahu.
“Tiada pun (sesiapa tampil untuk tandatangan SD), setakat yang saya semak memang tiada,” katanya selepas menghadiri Sesi Dialog Bersama Industri Mengenai Impak Covid-19 di Putrajaya, semalam.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada PKR akan mengambil tindakan terhadap ahlinya yang menandatangani SD berkenaan, Saifuddin berkata pihaknya tidak menerima sebarang pengesahan berita itu.
“Tiada pengesahan, ia masih kekal sebagai satu berita seperti dilaporkan. Buat masa ini tiada siapa pun yang tampil. Setakat yang saya tahu, ia hanyalah satu ‘hearsay’ (khabar angin),” katanya.
Kelmarin, Sarawak Report melalui sumbernya mendakwa ahli parlimen dari Umno, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta ahli Parlimen PKR yang memihak kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali digesa untuk ke Kuala Lumpur bagi menandatangani SD itu dalam tempoh 48 jam.
Portal berkenaan turut mendakwa pengumpulan SD berkenaan sudah dua kali diadakan dengan SD pertama sudah ditandatangani namun belum digunakan.
Pada 9 Februari lalu, Dr Mahathir dilaporkan menegaskan bahawa beliau akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan perdana menteri itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi menambah keputusan muktamad terletak kepada Dewan Rakyat.
Dua hari sebelum itu, Anwar memberitahu Reuters bahawa dia bersedia menunggu enam bulan lagi untuk menjadi perdana menteri dan menyatakan keyakinannya bahawa dia mendapat sokongan PH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan