JURUPANDU arah berusia 43 tahun meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas ketika melakukan aktiviti mendaki bersama tiga pendaki lain di Gua Baso, Bukit Selor, Kuala Balah di Jeli semalam.
Ketua Bomba dan Penyelamat Jeli Mohd Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 4.36 petang daripada seorang pendaki yang melakukan aktiviti bersama mangsa.
“Kami difahamkan mereka mula memasuki gua itu pada 10 Februari lalu sebelum berhenti di kawasan rehat dan meneruskan perjalanan.
“Difahamkan, mangsa meninggal dunia selepas Maghrib semalam (kelmarin), oleh kerana waktu malam, seorang daripada mereka membuat keputusan untuk ke luar dari gua itu dan membuat laporan kepada pihak polis hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Mohd Adni berkata, anggotanya berjaya mengeluarkan jenazah mangsa pada 9.45 malam dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
“Mangsa dikenali sebagai Zulkifli Ibrahim, 43, dan jenazahnya telah dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan