HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Februari 2020

Koronavirus: Penjual santan didakwa buat kenyataan mungkin timbul ketakutan awam

Penjual santan Marzuki Abdullah, 40, mengaku tidak bersalah 
di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini. (Gambar 
Bernama)

KUALA TERENGGANU: Seorang penjual santan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membuat kenyataan mengenai isu jangkitan novel koronavirus 2019, yang mungkin menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Marzuki Abdullah, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan majistret Nordiana Abd Aziz.

Berdasarkan pertuduhan, Marzuki didakwa membuat kenyataan mengenai koronovirus yang melibatkan kemasukan pesakit ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini dengan niat atau mungkin menyebabkan ketakutan kepada golongan awam.

(Pertuduhan itu tidak menyatakan saluran kenyataan itu dikeluarkan)

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pangsapuri Ladang Tok Pelam di sini, pada 8.22 pagi, 27 Jan.

Tertuduh yang kelihatan tenang dan hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan, didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 2 tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah dan Nur Nabihah Hanin Ayim menawarkan jaminan RM10,000, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Hafizuddin Abdul Hariz merayu jaminan yang rendah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Mac untuk sebutan semula kes.

Tiada ulasan: