HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Februari 2020

Sokong kami di Parlimen, Dr M beritahu PAS, Umno

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersama Timbalan 
Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching meninggalkan Pusat Konvensyen 
Antarabangsa Putrajaya (PICC) selepas majlis amanat dan 
aspirasi bersama warga Kementerian Pendidikan hari ini.

PUTRAJAYA: Pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad beritahu PAS dan Umno supaya menyokong kerajaan di Parlimen, mengulas laporan mengatakan 2 parti Melayu-Islam terbesar itu sedia bekerjasama dengannya.

“Saya beritahu mereka, jika kamu mahu bekerjasama dengan saya, sokong (kami),” katanya pada sidang media selepas majlis bersama warga Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Mahathir, yang juga perdana menteri, diminta mengulas kesediaan Umno bekerjasama dengannya. Beliau mengambil maklum kenyataan daripada bekas parti pemerintah itu, dan menambah PAS juga sanggup bekerjasama dengannya.

Ditanya dalam situasi bagaimana beliau mahu sokongan kedua-dua parti itu, Mahathir jawab “di Parlimen”.

“Apabila kami melakukan sesuatu, saya fikir mereka harus menyokong, bukan hanya menentang secara membuta tuli,” tambahnya.

Pada Isnin, ahli majlis tertinggi Umno, Lokman Noor Adam membidas presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, yang menurutnya mahu bekerjasama dengan Mahathir, dikatakan kerana mengikut PAS “supaya tidak ketinggalan” dan supaya Umno tidak diharamkan.

Sebelum ini, FMT memetik sumber melaporkan pengaturan semula lanskap politik Malaysia secara besar-besaran, yang boleh mengangkat PAS ke kuasa persekutuan, mungkin sedang dirancang berikutan kemerosotan sokongan kepada pentadbiran Pakatan Harapan.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dalam kenyataan hari ini menyeru partinya “fikir masak-masak” sebelum terima “lamaran”.

“Kepada kita yang dilamar ini, janganlah terlalu berbunga-bunga hati kita. Jangan berasa terlalu didambakan. Jangan sesekali terburu-buru hanya kerana sekali dua telah bertentang mata. Pesona nafsu kekadang sangat merbahayakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiada ulasan: