TIMBALAN Presiden Umno Mohamad Hasan mengingatkan partinya supaya berhati-hati dan tidak tergopoh-gapah dengan sebarang tawaran untuk menjalin kerjasama politik dengan Bersatu.
Katanya, Umno perlu menimbang sebaik-baiknya sama ada kerjasama seumpama itu akan memberi manfaat atau sebaliknya mudarat kepada parti dan orang Melayu untuk jangka masa panjang "Semua ini perlu diperhalusi sedalam-dalamnya.
Janganlah kita gopoh. Berhikmahlah dalam perhitungan kita," katanya dalam satu kenyataan di Facebook. Mohamad juga mengingatkan sesuatu yang nampak terlalu baik barangkali adalah sebaliknya, dan kerana itu Umno wajar untuk berwaspada.
Mohamad memberi ingatan tersebut ketika Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar parti itu bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan partinya Bersatu demi survival dan masa depan Umno sendiri.
Cadangan Zahid didedahkan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam kelmarin.
Menurut Lokman, Zahid memberikan beberapa alasan kenapa Umno perlu bekerjasama dengan Dr Mahathir dan Bersatu, antaranya kerana PAS sendiri sudah berbuat demikian dan Umno tidak boleh ketinggalan.
Bagaimanapun Mohamad mengingatkan Umno apa perlunya untuk parti bekerjasama dengan Dr Mahathir dan Bersatu.
"Adakah tujuan lamaran itu ikhlas dan strategik kepada kepentingan bangsa, agama dan parti?
"Akankah ia menguntungkan parti dan bangsa Melayu dalam jangka masa panjang?" tanyanya.
Mohamad berpandangan agar cadangan kerjasama dengan Bersatu itu wajar dirunding di semua peringkat parti terlebih dahulu. "Bincangkan. Bahaskan. Dengan mendalam, dengan sejujur-jujurnya.
"Agar kita tidak terperangkap dalam permainan politik pihak-pihak tertentu. "Agar Umno tidak berpecah-belah hanya kerana kita terlalu cepat menerima lamaran yang sebenarnya masih samar-samar dan sarat dengan tanda tanya," katanya.
Mohamad turut mengingatkan Umno supaya jangan terlalu seronok kerana diajak bekerjasama dengan Bersatu sehingga lupa asas perjuangannya.
"Jangan berasa terlalu didambakan. Jangan sesekali terburu-buru hanya kerana sekali dua telah bertentang mata. Pesona nafsu kekadang sangat merbahayakan.
Dalam politik, kita mesti ada kejelasan dalam tujuan, aspirasi dan tindakan. Paling penting, dalam politik jangan pernah kita lupa apa itu perjuangan "Pertimbangkanlah perkara berikut dengan semasak-masaknya," katanya.
Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat ini dijadual membincangkan perkara tersebut. - 5 Februari, 2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan