HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Februari 2020

Korea Selatan bangunkan peta digital penularan koronavirus

Peta Corona dan Corona Nearby membolehkan orang ram
ai mengetahui kawasan yang terjejas dengan koronavirus.
 
SEOUL: Peta dalam talian yang menunjukkan bagaimana koronavirus novel merebak di seluruh negara kini tular di Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap.

Peta Corona (http://coronamap.site/), sebuah laman web yang dibangunkan 4 penuntut universiti, seorang daripadanya menuntut di Universiti Kyunghee.

Laman web itu menunjukkan angka terbaru kes disahkan dan disyaki. Garis dan bulatan ditandakan dengan warna berlainan, menunjukkan 15 orang yang didiagnosis dengan virus itu dan bagaimana mereka mengembara ke seluruh negeri.

Mula dilancarkan pada 30 Jan selepas Korea Selatan mengesahkan 6 kes jangkitan, laman web itu menarik hampir 8 juta pengguna Internet hanya 5 hari selepas diperkenalkan, kata Lee Dong Hoon dalam temu bual radio dengan MBC.

Di samping itu, Corona Nearby (https://corona-nearby.com/) satu lagi peta yang juga semakin popular.

Lebih mesra pengguna, peta itu membolehkan orang ramai mengetahui kawasan yang terjejas dengan koronavirus.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat hospital dan pusat kesihatan yang boleh dikunjungi pesakit.

Menggunakan data kerajaan dan akademik dari Korea Selatan, China dan Amerika Syarikat serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia, laman web itu turut memaparkan kes yang disyaki dan disahkan di dalam dan luar negara.

Tiada ulasan: