HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Februari 2020

Pendedahan Lokman bukti Muafakat Nasional hanya sandiwara, kata Pemuda Amanah

 
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi 
Awang selepas menandatangani piagam Muafakat Nasional tahun 
lepas. Ketua Pemuda Amanah, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim 
berkata, kedua-dua parti tidak mempunyai persefahaman yang baik 
dan hanya memikirkan survival politik masing-masing. 
 

KOTA KINABALU: Pendedahan anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam baru-baru ini dan gesaan beliau supaya presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi berundur menunjukkan bahawa Muafakat Nasional bermasalah dari awal, kata seorang pemimpin Pemuda Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Ketua Pemuda Amanah Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, gesaan Lokman membuktikan Muafakat Nasional antara PAS dan Umno berdepan masalah “kecelaruan identiti” dan saling tidak percaya antara satu sama lain.

“Perkara ini harus diambil sebagai petunjuk penting bahawa parti yang berada dalam Muafakat Nasional, terutamanya Umno dan PAS tidak mempunyai persefahaman yang baik dan hanya memikirkan ‘survival’ politik masing-masing.

“Selain itu, dalam rakaman yang didedahkan juga menunjukkan PAS memberi isyarat bahawa kesepakatan yang dibuat bersama Umno hanyalah sandiwara politik demi meraih sokongan setelah masing-masing tewas dalam pilihan raya umum ke 14 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Lokman baru-baru ini membidas Zahid kerana didakwa berkata bahawa Umno perlu bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana PAS melakukan perkara sama.

Beliau menyuarakan kekecewaan terhadap Zahid dengan berkata, Umno memerlukan pemimpin yang bersedia berjuang untuk rakyat, bukannya individu yang bersedia “berkompromi dengan golongan berkuasa”.

Lokman berkata, pada satu mesyuarat Umno mengenai Muafakat Nasional, Zahid mengemukakan 4 sebab kenapa parti itu perlu bekerjasama dengan Mahathir.

PAS secara terbuka menyokong Mahathir sebagai perdana menteri sehingga habis penggal pentadbirannya.

Lokman berkata, beliau mempunyai rakaman audio berdurasi 3 minit yang didakwa merupakan ucapan Zahid pada mesyuarat itu.

Katanya, Zahid perlu berundur sekiranya beliau hanya mampu tunduk kepada Mahathir bagi menghalang pendaftaran Umno dibatalkan dan akaunnya dibekukan.

Dalam pada itu Hasnul berkata, PAS sekali lagi mempamerkan wajah sebenar mereka apabila sanggup membelakangkan rakan politiknya dan Umno menjadi mangsa terbarunya.

“Justeru rakyat Malaysia seharusnya membuka mata menilai sikap politik mereka dan tidak terpedaya dengan slogan yang dilaungkan kononnya membawa agenda nasional untuk negara,” katanya.

Beliau seterusnya menyeru PH supaya terus bergerak pada landasan yang betul bagi memastikan perubahan dan pembaharuan yang dibawa dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

Tiada ulasan: