PETALING JAYA: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu menjelaskan mekanisme pemberian beras dan pengagihan bakul makanan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kata Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Mereka berkata, sehingga hari ini rakyat dibiarkan tertanya-tanya bagaimanakah beras bantuan diagihkan serta cara penduduk boleh memohonnya.
“Adakah agihan beras ini dibuat oleh lantikan politik kerajaan PN sehingga menyebabkan bantuan ini tidak sampai kepada mereka yang sepatut menerimanya?” katanya mereka kenyataan.
Ahli Parlimen PH berkenaan adalah Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Teresa Kok (Seputeh), Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Lim Lip Eng (Kepong), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), P Prabakaran (Batu) dan Hannah Yeoh (Segambut).
Mereka berkata, kelewatan dalam pemberian bantuan akan menjejaskan kehidupan rakyat yang semakin tertekan akibat wabak Covid-19.
“Walaupun sudah memasuki tiga bulan semenjak pengisytiharan darurat dibuat, namun rakyat masih tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bakul makanan seperti yang dijanjikan kerajaan,” katanya.
Kata mereka, program bakul makanan berupa pemberian barang keperluan bernilai RM100 kepada setiap isi rumah melibatkan peruntukan RM50 juta melalui JKM sehingga kini kelihatan tidak berjalan seperti dirancang.
“Malaysia tidak perlukan kad laporan prestasi kerajaan PN yang indah khabar daripada rupa dan hanya sedap dibaca sedangkan rakyat tidak langsung merasai kesannya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan