HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Mac 2021

Keputusan tepat Steven Choong sertai PN

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

PASIR GUDANG: Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon mẹmbuat keputusan tepat dengan menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, Steven Choong berpandangan jauh bahawa tindakannya itu dapat memastikan rakyat di kawasan Parlimen Tebrau mendapat pembelaan sewajarnya.

“Ini kerana wakil rakyat yang bersama-sama kerajaan lebih mudah untuk disalurkan peruntukan. Keputusan itu adalah bersandarkan kesedarannya untuk menyelesaikan isu-isu rakyat di kawasan beliau.

“Tak perlulah kita berspekulasi. Parlimen Tebrau sedang mengalami proses urbanisasi yang pesat dan pantas berkembang. Banyak masalah rakyat perlu diselesaikan antaranya banjir, pencemaran sungai, pembuangan sampah haram dan isu perumahan,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Steven Choong dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien daripada PKR menyatakan sokongan kepada kerajaan PN dengan menyerahkan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani mereka kepada Perdana Menteri.

Penyerahan SD tersebut dimuat naik Muhyiddin dalam hantaran terbaharu akaun Facebook rasmi beliau.

Keputusan Steven Choong itu mengejutkan ramai pihak selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Amanah Negara (Amanah) Johor dilaporkan menyertai PKR, Sabtu lalu.

Wakil rakyat tersebut ialah ADUN Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim; ADUN Serom, Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Mohd Said Jonid.

Dalam pada itu Che Zakaria berkata, pengukuhan kerajaan PN adalah penting untuk memastikan usaha memerangi Covid-19 dan semua perancangan demi kepentingan rakyat dapat diteruskan tanpa diganggu-gugat pihak tertentu. UTUSAN

Tiada ulasan: