HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 Mac 2021

Kerajaan PN penyelamat negara

Oleh ROSALINDA MD. SAID
RAZALI IDRIS

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak setahun lalu boleh dianggap sebagai kerajaan penyelamat negara kerana bertungkus-lumus mencari jalan terbaik demi kesejahteraan rakyat dan Malaysia.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Datuk Razali Idris berkata, walaupun berdepan pelbagai ancaman di samping desakan politik melampau dan kemaruk, namun PN masih boleh terus bernafas hingga kini.

“PN bukan kerajaan lemah atau tidak berwibawa kerana pelbagai pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan dalam tempoh setahun lalu hingga memberikan banyak impak positif kepada kesejahteraan rakyat secara berperingkat.

“Bersatu bersama rakan parti politik dalam kerajaan PN tidak akan berundur sehingga pandemik Covid-19 dibendung sepenuhnya, ekonomi negara pulih lebih 90 peratus dan kesejahteraan rakyat kembali terjamin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Razali, perkembangan itu sekali gus memberi isyarat jelas untuk PN terus kekal memerintah negara.

Malah, katanya, rakyat seharusnya bersyukur kerana memiliki Perdana Menteri berjiwa rakyat yang sanggup menggalas amanah menyelamatkan negara ketika krisis politik memuncak dengan diburukkan oleh keadaan ekonomi merudum dan kesejahteraan kesihatan awam terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Jadi adalah tidak adil untuk parti politik berterusan mengancam, mengugut dan melakukan serangan mengejut yang politik tidak stabil dan tiada sokongan padu dalam kalangan Ahli Parlimen PN bagi membentuk kerajaan sedia ada,” katanya.

Bagaimanapun, Razali tidak menolak kemungkinan wujud segelintir pemimpin dan parti politik termasuk dalam PN yang kemaruk untuk berkuasa tanpa mempedulikan nasib rakyat, ekonomi negara di samping kesihatan awam.

Sehubungan itu, katanya, pihak tertentu usah beria-ria mendesak untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana tarikh itu pasti tiba dan pastinya rakyat tidak akan mengulangi kesilapan sama ketika PRU lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: