Firdaus Azil

Amat
berbeza situasinya jika UMNO bekerjasama dengan parti Melayu lain
seperti
Pas dan Bersatu, malah dengan PKR sendiri, kerana masih boleh
diterima akar umbi.
KUALA LUMPUR:
Kerjasama politik antara UMNO dan DAP, jika benar-benar direalisasikan,
akan memberi ‘kemusnahan’ kepada parti Melayu Islam itu, kata Pensyarah
Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Mohamad
Tawfik Yaakob.
Menurut beliau, kerjasama
itu akan menyebabkan UMNO terpaksa mengubah atau berkompromi dengan hala
tuju dan dasar partinya sekali gus akan memberi risiko kepada
penerimaan akar umbi dan juga masyarakat di negara ini.
Beliau
berkata, tindakan itu sama sekali berbeza dengan kerjasama politik
dengan Pas, PKR mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
memandangkan ketiga-tiga parti itu merupakan pecahan dari UMNO sendiri.
“Sejarahnya
itu tak boleh kita nafikan hubungan Pas dengan UMNO, PKR dengan UMNO,
Bersatu dengan UMNO itu jelas. Tetapi dalam konteks DAP ini, daripada
sebelum merdeka lagi. Memang susah wujudkan bibit hubungan atau
kerjasama UMNO dengan DAP.
“Kalau
muncul pun ini akan mencetuskan atau menciptakan satu pecahan atau
kemusnahan politik kepada UMNO itu sendiri, berbanding DAP yang
mempunyai masa depan yang lebih jelas kerana mendapat sokongan besar
daripada kaum Cina,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Pada
19 Mac lepas, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook
berkata, parti itu sentiasa terbuka untuk mencari konsensus dengan
mana-mana parti, sama ada dalam kalangan parti rakan gabungan atau parti
yang lain termasuk UMNO.
Sementara
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, tiada kerjasama politik
dengan UMNO, melainkan mendapat persetujuan Jawatankuasa Tertinggi
Pusat (CEC).
Kata Guan Eng, setakat ini
CEC masih berpegang kepada keputusan yang dicapai sebelum ini iaitu
tiada kerjasama dengan UMNO, terutamanya untuk menghadapi pilihan raya
umum akan datang.
Mengulas lanjut,
Mohamad Tawfik berkata, keadaan agak jelas menunjukkan UMNO sedang
berada dalam persimpangan sama ada harus bekerjasama dengan parti dalam
Perikatan Nasional ataupun untuk menetapkan satu kerjasama atau jajaran
baharu dengan Pakatan Harapan.
“Kerana kita lihat kalau kerjasama dengan Bersatu dan Pas, itu tidak menjadi masalah kepada UMNO.
“(Sebaliknya)
kalau kita lihat kerjasama dengan DAP, ini akan menyebabkan kumpulan
dan orang Melayu akan mula menolak UMNO dan ini akan beri kelebihan
kepada Pas dan Bersatu,” ujar beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan