HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 Mac 2021

MP Klang: Siasatan polis lebih pantas jika libatkan ahli politik PH

Malaysiakini

Charles Santiago mendakwa polis membuat intimidasi dengan mempercepat siasatan terhadap kenyataannya mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Malaysiakini.

Sedangkan, kata Ahli parlimen DAP itu, sekiranya ia melibatkan ahli politik kerajaan, siasatan polis tidak secepat itu.

"Ini adalah intimidasi. Faktanya adalah bahawa anda (polis) membuat siasatan pantas terhadap ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) tetapi tidak melakukan perkara yang sama kepada anggota parlimen daripada kerajaan.

"Menteri-menteri telah melanggar SOP (Covid-19). Banyak laporan telah dibuat tetapi siasatan masih belum selesai selama berbulan-bulan.

"Dalam kes saya, anda datang (dari Kedah) untuk merakam kenyataan saya hanya selepas lapan hari. Saya fikir perlu adil. Sekiranya anda ingin menyiasat, anda menyiasat semua orang (dengan cara yang sama)," tambahnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Klang itu disoal siasat selama lebih sejam di ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur oleh seorang pegawai polis dari Kedah.

Ia adalah berhubung laporan yang dibuat oleh sebuah NGO di Sungai Petani terhadap Charles dan Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan pada 21 Februari lalu atas komen mereka mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan.

Ketika laporan ini ditulis, polis masih merakam kenyataan Gan.

Menurut Charles, dia diajukan 12 pertanyaan tetapi pegawai tersebut enggan mendedahkan nama NGO yang membuat laporan tersebut.

"Ia adalah pertemuan yang ramah, tetapi siasatan tidak betul.

"Hanya kerana sebuah NGO membuat laporan, anda (polis) melancarkan siasatan terhadap saya di bawah Akta Hasutan dan juga Akta Multimedia dan Komunikasi," katanya.

Dia menambah bahawa pegawai penyiasat bersikap sopan dan dia telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada siasatan.

Charles mengulangi bahawa membuat ulasan mengenai badan kehakiman tidak menjadi kesalahan kerana Akta Hasutan diubah pada tahun 2015 untuk menghapus Seksyen 3 (1) (c).

Seksyen itu menyatakan kebencian atau penghinaan atau menimbulkan rasa tidak senang terhadap kehakiman di Malaysia atau dalam keadaan apa pun sebagai kecenderungan menghasut.

Pada 19 Februari, Mahkamah Persekutuan mendenda Malaysiakini RM500,000 berhubung lima komen pembaca yang dianggap menghina badan kehakiman.

"Saya ingin mengulangi bahawa saya hanya menggunakan hak perlembagaan saya sebagai wakil rakyat.

"Adalah menjadi bidang kuasa saya sebagai Anggota Parlimen untuk mengemukakan soalan kritikal dan berkaitan.

"Siasatan polis ini adalah tindakan menakut-nakutkan untuk mendiamkan suara saya tetapi saya telah mengangkat sumpah untuk memperjuangkan keadilan dan akan terus melakukan tugas saya dengan terbaik untuk negara saya dan hati nurani saya," katanya.

Charles ditemani oleh peguamnya John Fam.

Malaysiakini berjaya mengumpulkan wang untuk membayar denda itu dalam beberapa jam selepas keputusan dibacakan melalui kempen derma orang ramai.

Tiada ulasan: