Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan injunksi sementara oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menghalang ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi daripada menerusi catatannya di Facebook.
Sebelum ini, Mohd Puad menerima surat tuntutan daripada peguam Muhyiddin supya dia memohon maaf dan memadam posting di media sosial yang mendakwa layanan berbeza kepada rakyat berhubung prosedur operasi standard dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menangani penularan Covid-19.
Catatan FB itu dimuat naik pada 9 Februari.
Peguam perdana menteri Rosli Dahlan memberitahu Malaysiakini bahawa hakim Mohd Firuz Jaffril hari ini membenarkan permohonan ex-parte plaintif bagi menghalang Mohd Puad daripada menerbitkan, menyiarkan, berkongsi, menerbitkan semula atau menyiarkan semula dan/atau berkongsi semula dalam apa cara sekalipun satu hantaran Facebook bertajuk "Kuarantinpun ada dua darjat".
Peguam itu menjelaskan bahawa saman fitnah utama telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur awal hari ini.
"Saman telah difailkan (hari ini) dan dibenarkan (oleh hakim Firuz)," kata Rosli, sambil menambahkan bahawa perintah larangan itu diberikan setelah pendengaran permohonan injunksi awal hari ini.
Peguam itu menjelaskan bahawa perintah injunksi terhadap Mohd Puad akan berkuat kuasa hari ini sehingga 12 Mac, apabila mahkamah akan membicarakan permohonan injunksi Muhyiddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan