KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Nasional mengingatkan PKR agar tidak hipokrit dan berlidah cabang dalam usaha menolak budaya lompat parti, apatah lagi melibatkan wakil rakyat Amanah sendiri.
Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin menegaskan, tindakan PKR didakwa menerima wakil rakyat lompat daripada komponen Pakatan Harapan (PH) boleh menjejaskan hubungan sesama parti pembangkang.
“Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melaksanakan tekad bersama untuk menolak budaya lompat parti sesama komponen yang jelas menguntungkan satu pihak dan merugikan pihak yang lain.
“Politik tikam belakang ini usah dibudayakan.
“Sebagai rakan gabungan dalam PH, menerima penyertaan wakil rakyat ini hanya akan menyebabkan hubungan antara parti renggang dan keruh di kemudian hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, seorang wakil rakyat daripada Amanah disahkan menyertai PKR.
Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) Senggarang, Khairuddin A. Rahim dilaporkan telah memohon untuk menyertai PKR sejak September tahun lalu.
Khairuddin mengesahkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan semalam dan menjelaskan beliau kini menyertai PKR Cabang Batu Pahat.
Pemuda Amanah Nasional juga menyambut baik pendirian PH sebelum ini secara umumnya boleh bersetuju bahawa tindakan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat adalah pelacuran terhadap sistem demokrasi negara.
“Membeli dan menjual wakil rakyat merupakan budaya bobrok yang hina lagi keji.
“Bahkan persundalan ini jugalah yang menyebabkan kerajaan PH runtuh dan merencatkan proses reformasi tadbir urus yang sedang berjalan ketika itu,” katanya.
Shazni Munir juga meragui kenyataan Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam bahawa PKR menolak tindakan lompat parti yang bertujuan ingin melemahkan mana-mana parti dalam blok pembangkang.
“Namun ironinya, pada tarikh berkenaan juga dilaporkan media bahawa PKR telah menerima wakil rakyat yang lompat di Johor; setelah bantahan dalaman kami suarakan rentetan kejadian sama berlaku di Selangor sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan