PETALING JAYA: Susulan persetujuan AMMB Holdings Bhd berkenaan penyelesaian global bernilai RM2.83 bilion AmBank Group dalam 1MDB, seorang Ahli Parlimen DAP mendesak Putrajaya untuk mencapai penyelesaian serupa dengan juruaudit dana kekayaan negara itu.
Ahli Parlimen Damansara Tony Pua berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) meminta peguam dan akauntan untuk menyiapkan tuntutan terhadap mereka yang terlibat dalam kehilangan dana berkaitan 1MDB, sama ada secara langsung atau tidak.
Dalam kenyataan, beliau menambah dokumen itu siap hanya beberapa minggu sebelum kejatuhan kerajaan PH.
“Saya menyeru Kementerian Kewangan untuk fokus kepada tuntutan terhadap bekas juruaudit 1MDB, KPMG dan Deloitte Malaysia. Seperti dalam kes Ambank, dokumen tuntutan terhadap kedua-dua entiti itu disiapkan oleh ahli profesional lebih daripada setahun yang lalu.
“Namun, tidak seperti tahap kerjasama yang ditunjukkan oleh Ambank, juruaudit ‘antarabangsa’ ini gagal menunjukkan penyesalan dan tidak mahu mengakui apa-apa kesalahan dalam skandal RM50 bilion itu.
“Ini walaupun terdapat bukti yang jelas mengenai kegagalan mereka menjalankan tanggungjawab audit dengan cekap dan tekun,” katanya.
Pua, yang juga setiausaha publisiti kebangsaan DAP, menggesa Kementerian Kewangan untuk tidak menunjukkan belas kasihan dalam perundingannya dengan firma audit tersebut, menyatakan tuntutan patut diajukan kepada mereka sekiranya tidak menunjukkan penyesalan atas penglibatan mereka dalam skandal itu.
Minggu lalu, kerajaan mengumumkan penyelesaian dengan AMMB atas semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan penglibatan AmBank Group dalam skandal 1MDB.
Penyelesaian global terbaru ini adalah sebahagian daripada usaha pemulihan yang diajukan oleh kerajaan terhadap semua pihak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya.
“Ini susulan rundingan kerajaan yang berjaya berkenaan penyelesaian Goldman Sachs bernilai RM15.8 bilion (USD3.9 bilion) pada Julai 2020,” kata Kementerian Kewangan.
Kementerian itu berkata, penyelesaian itu tidak akan membebaskan entiti dan individu lain daripada tuduhan bahawa mereka terlibat secara salah dalam 1MDB, dan mereka akan terus diburu melalui sistem keadilan jenayah.
Penyelesaian global oleh AMMB itu juga memenuhi syarat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengenai pematuhan undang-undang dan garis panduannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan