Penghakiman Mahkamah Persekutuan negara ini menghormati perjanjian ekstradisi antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) wajar dihormati kerana ia tindakan terpuji.
Pada masa sama, tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan negara ini, tidak lebih daripada drama geopolitik didalangi Presidennya, Kim Jong Un.
Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekstradisi Mun Chol Myung ke AS amat tepat dalam kerangka undang-undang antarabangsa. Ia bukti komitmen kukuh Malaysia menguatkuasakan sekatan ekonomi ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Korea Utara.
Tindakan Mahkamah Persekutuan ini selari polisi Malaysia terhadap ketelusan sistem kewangan global, sekali gus bersesuaian dengan imejnya sebagai hab kewangan Islam global.
Sudah terlalu lama nama Malaysia terpalit dengan imej buruk sebagai sarang penjenayah antarabangsa, khususnya dari Korea Utara.
Contohnya pada 2017 Glocom, firma teknologi berpangkalan di negara ini disenaraikan PBB antara syarikat boneka (front company) menyokong rangkaian jenayah siber antarabangsa Korea Utara. Aktiviti jenayah ini hanya bermotif menjana laba untuk membiayai program haram senjata nuklear Korea Utara.
Jika ada yang terlupa, pada 13 Februari 2017, abang tiri Jong Un, iaitu Kim Jong Nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atas motif perebutan kuasa.
Kes pembunuhan itu menyebabkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Korea Utara tergantung sehingga negara berkenaan bertindak memutuskannya, baru-baru ini. Sudah tiba masa Malaysia mengambil pendirian tegas terhadap rangkaian jenayah antarabangsa didalangi Korea Utara.
Korea Utara perlu faham tindakan undang-undang diambil Malaysia bukan terhadap kerajaan Korea Utara, sebaliknya kepada suspek yang kebetulan warganegara itu. Dalam isu ini, kedaulatan Korea Utara tidak pernah terjejas.
Tambahan pula, Chul Myong bukan diplomat Korea Utara. Jika suspek adalah diplomat, sudah tentu Malaysia akan bertindak bijaksana dan berhati-hati kerana perlu mematuhi undang-undang antarabangsa seperti Vienna Convention on Diplomatic Relations 1961.
Dalam apa jua situasi, Malaysia bertindak secara objektif dan bersandarkan prinsip keadilan sejagat seperti rule of law dan natural justice. Chol Myung sudah diberikan hak terhadap perbicaraan adil di negara ini (right to fair trial) sehingga peringkat tertinggi hierarki kehakiman Malaysia, iaitu Mahkamah Persekutuan.
Malah ketika prosiding, peguambelanya menyatakan Chol Myung ialah 'mangsa' persengketaan politik antara Korea Utara dengan AS, bukan antara Korea Utara dengan Malaysia.
Ini membuktikan keputusan Mahkamah Persekutuan bukan dibuat kerana tunduk atas tekanan kuasa luar. Apatah lagi, prosiding undang-undang berlangsung di negara ini hanya berkaitan dengan ekstradisi, sedangkan perbicaraan sebenar akan berlangsung di AS.
Korea Utara perlu membetulkan sudut pandang terhadap Malaysia.
Dasar hubungan luar Malaysia bersifat berkecuali dan tidak memihak apabila menjalinkan hubungan diplomatik dengan semua negara tanpa mengambil kira perbezaan ideologi politik.
Sebagai negara berdaulat, Malaysia hanya memenuhi komitmen undang-undang dengan melaksanakan perjanjian ekstradisi sah dengan AS.
Sebagai negara yang memencilkan diri, Korea Utara sepatutnya mengukuhkan ikatan hubungan diplomatik dengan negara yang sudah lama bersahabat dengannya. Tindakan memutuskan hubungan diplomatik akan disesali Korea Utara kelak.
Pada masa sama, pujian perlu diberikan kepada badan kehakiman Malaysia khususnya Mahkamah Persekutuan kerana membuktikan peranannya sebagai pembela keadilan dan kebenaran.
Keputusan ini membuktikan kewibawaan badan kehakiman yang tidak dapat disangkal. Pada masa sama, keputusan itu mencetuskan gegaran bukan saja di negara ini, malah Asia Tenggara dan seluruh dunia kerana Chol Myung satu-satunya warga Korea Utara berjaya diekstradisi oleh mana-mana negara ke AS.
Malaysia ialah negara pertama melakukannya, sekali gus kejayaan yang amat membanggakan. Jelas keputusan Mahkamah Persekutuan bukan saja membuktikan kepentingan peranan institusi badan kehakiman di negara ini, malah menjulang nama Malaysia pada peringkat dunia.
Langkah berani Malaysia akan dijadikan contoh terbaik dalam kalangan negara ASEAN untuk menangani dan memerangi isu rangkaian jenayah antarabangsa. Sudah tiba masa anggota ASEAN bergerak dalam saf utuh demi melumpuhkan jenayah antarabangsa melalui platform undang-undang telus.
Penguatkuasaan undang-undang antarabangsa wajib dibuat tanpa gentar dan diskriminasi. Langkah pertama sudah pun diorak Malaysia. Disokong kearifan badan kehakiman, nama Malaysia akan harum di persada antarabangsa.
(*) Penulis adalah pengamal undang-undang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan