UMNO kena jadi induk, ni nak jadi anak ayam kenapa?, tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurut Mohamad, sebab itu beliau tidak menerima jawatan di sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) yang ditawarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kata Tok Mat, sebagai antara individu dalam UMNO yang mahukan Parlimen dibubarkan dan bukannya pembentukan kerajaan menerusi PN ketika kemelut tahun lalu, beliau tidak boleh menerima jawatan itu.
“Saya tidak mahu jadi hipokrit (dengan terima jawatan GLC) dan saya juga menolak pelawaan kerajaan itu kerana saya menjaga maruah parti sebagai orang nombor dua UMNO.
“Sebagai parti terbesar, UMNO kena jadi induk, yang nak jadi anak ayam apa hal.
“Saya tak tahulah kalau ada yang sudi jadi anak ayam tetapi saya, saya nak (UMNO) jadi induk ayam,” katanya malam tadi.
Baca artikel berkaitan: “Jika kita berpecah ramai yang seronok..” Tok Mat
Ini keputusan lebih 100 bahagian UMNO – Tok Mat
Mohamad berkata demikian dalam temu bual bersama UMNO Online dengan tajuk ‘UMNO Menjadi Parti Induk Politik Tanah Air. Bagaimana kaedahnya? menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2020.
Justeru katanya, tidak tepat untuk mendakwa sebahagian pemimpin UMNO yang tidak mendapat jawatan kerajaan PN adalah golongan orang kecewa sehingga tidak senang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Macam mana boleh kata orang UMNO yang tak dapat jawatan ni orang kecewa?
“Dalam susah dan senang kita berjuang. Bukan masa senang sahaja, dalam susah lagilah naik tekad kita untuk berjuang.
“Masa 22 bulan kita pembangkang maknanya semua kecewa? Tidak, tambah kuat kita masa itu. Tapi nampaknya masa dapat jawatan pula merosot pula prestasi kita,” jelasnya.
Mohamad dalam temu bual itu juga sekali lagi mengingatkan UMNO perlu menjadi parti induk dalam politik tanah air.
Katanya, dalam apa jua keadaaan UMNO harus menjadi teras dalam pentadbiran negara.
Malah Mohamad turut menegur segelintir pihak dalam parti yang sanggup mengatakan UMNO akan lemah tanpa PN.
Walaupun mengakui itu perspektif masing-masing, tetapi bagi beliau pandangan itu tidak betul.
“Sebelum adanya PN, kita dalam pembangkang dan kita menang PRK-PRK. Justeru macam mana boleh menuturkan kata UMNO akan lemah tanpa PN?
“Jika ada yang kata begitu bermakna hidup kita bergantung dengan orang. Hidup jangan bergantung sangat dengan orang.
“Sebab itu saya kata kita kena bina kekuatan diri, sentiasa memperkasakan parti,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan