Tindakan itu hanya beri ruang kelirukan umat Islam sendiri
1. EPISOD ahli politik bukan Islam iftar dan bersahur bersama orang Islam serta menyampaikan zakat atau sumbangan berulang lagi. Begitulah dari dulu dan rasanya akan berterusan hingga bila-bila. Motifnya jelas, hanya untuk mengambil sokongan umat Islam bagi menjayakan agenda mereka. Adakah mereka ada minat terhadap Islam? Zahirnya tidak nampak begitu. Kerana kalau ada minat, sudah tentu akan ada yang masuk Islam walau pun seorang dua.
2. Persoalannya, perlukah umat Islam berterusan memberi ruang kepada ahli politik bukan Islam untuk menjayakan agenda mereka? Mustahil non muslim boleh iftar dan sahur di masjid tanpa jemputan ajk masjid. Mustahil juga mereka boleh sampaikan agihan zakat tanpa kebenaran dari pembayar zakat. Sedangkan Allah berfirman di dalam al-Quran:
وَلَن يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا
“dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.”
(An-Nisa’: 141)
3. Tidak nampak dari tindakan itu kemasukan beramai-ramai non muslim ke dalam Islam. Tidak berkurang juga pandangan buruk sebahagian mereka kepada Islam dan umatnya. Gerakan Kristianisasi juga tidak bertambah lemah. Keadaan non muslim tetap kekal seperti sedia ada.
Kalau begitu, apa yang umat Islam mahu dari ruang yang diberikan secara percuma kepada politikus non muslim untuk iftar di masjid dan menyampaikan zakat kepada umat Islam?
4. Iftar dan sahur secara berjemaah, tambahan jika dilakukan di masjid adalah ibadah kepada Allah.
Rasulullah berdoa setiap kali berbuka puasa:
ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر ان شاء الله
“Hilanglah dahaga, basahlah kerongkong dan tetaplah pahala dengan izin Allah.”
(Riwayat Abu Daud)
Berkenaan sahur, Rasulullah bersabda:
تسحروا فإن في السحور بركة
“Bersahurlah, sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkatan.”
(Riwayat Bukhari)
Zakat pula adalah salah satu rukun Islam yang lima sebagaimana yang kita maklumi.
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”
(Al-Baqarah: 43)
Jemputlah orang bukan Islam untuk makan di rumah bahkan di masjid pun, tapi bukan sebagai VIP yang menyerikan ibadah iftar dan sahur. Jemputlah ahli politik non muslim untuk sampaikan sumbangan dari harta mereka, tapi bukan untuk menyempurnakan rukun Islam dalam agihan zakat umat Islam kepada asnaf.
5. Tindakan memberi ruang kepada ahli politik bukan Islam itu hanya akan membuka ruang yang mengelirukan umat Islam sendiri. Akan ada yang keliru lalu menganggap iftar dan sahur sama seperti jamuan makan malam atau minum petang sahaja. Akan ada yang keliru lalu menganggap duit zakat itu seperti bantuan sara hidup atau sumbangan kebajikan sahaja. Akan ada yang keliru lalu mengangkat ahli politik non muslim itu sebagai pimpinan umat Islam yang membimbing mereka. Kekeliruan itu akan berakhir dengan penyerahan wala’ kesetiaan umat Islam kepada ahli politik non muslim. Dan akhirnya digunakan sepenuhnya oleh non muslim untuk meraih sokongan agenda mereka merubah konsep negara Malaysia.
6. Apa yang saya andaikan di atas bukan andaian pun sebenarnya. Ia sudah pun berlaku. Jika kita faham ideologi kehidupan ahli politik non muslim itu, kita akan faham latarbelakang tindakannya. Kita juga akan faham kesannya untuk jangka pendek dan jangka panjang. Malangnya ada umat Islam yang tidak sensitif lalu memberikan ruang dan peluang keemasan itu kepada ahli politik tersebut.
7. Saya tidak akan menyeru non muslim untuk menghentikan tindakan seumpama itu. Tapi saya ingin mengingatkan umat Islam sendiri agar jangan membuka ruang; walau sekecil mana pun kepada non muslim untuk menjayakan agenda mereka. Satu-satunya jalan untuk agenda non muslim berjaya di Malaysia ini adalah melalui kelemahan umat Islam sendiri.
Imam Qurtubi pernah berkata:
إن الله سبحانه لا يجعل للكافرين على المؤمنين سبيلا منه إلا أن يتواصوا بالباطل ولا يتناهوا عن المنكر ويتقاعدوا عن التوبة فيكون تسليط
العدو من قبلهم
“Allah tidak akan membuka jalan untuk orang kafir membinasakan orang-orang beriman kecuali setelah orang beriman itu bekerjasama dalam kebatilan, tidak mencegah kemungkaran dan tidak bertaubat. Dengan itu penguasaan musuh (terhadap orang beriman) adalah dari tindakan orang beriman sendiri.”
8. Marilah kita menjadi umat yang mempunyai tahap sensitiviti yang tinggi terhadap perancangan musuh Islam. Hidupkan seluruh deria agar peka terhadap segala tipu muslihat mereka. Ajk masjid, amil zakat, pimpinan pertubuhan Islam … semuanya mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menjaga maslahat Islam dalam masyarakat. Sedikit kelonggaran dari mereka, harga yang akan dibayar oleh generasi Islam seterusnya adalah harga yang mahal. Ketika itu terlajak tidak boleh diundur lagi.
Allahul Musta’an
(*) Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, Presiden ISMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan