HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 April 2021

Kerajaan tak boleh ‘mandulkan’ demokrasi, UMNO desak Parlimen bersidang

Siti Fatimah

Parlimen, DUN medan semak dan imbang supaya kerajaan tak lakukan tindakan sesuka hati

KUALA LUMPUR – UMNO mendesak dan mengesyorkan kepada kerajaan supaya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang semasa tempoh darurat, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, perkara itu, yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini, juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.

Ahmad berkata, antara rasional utama yang dipertimbang berhubung perkara itu ialah kerajaan tidak boleh dilihat cuba ‘memandulkan’ amalan demokrasi berparlimen.

“Parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah medan semak dan imbang dalam kalangan wakil-wakil rakyat agar kerajaan tidak melakukan sebarang tindakan sesuka hati hingga membelakangkan kepentingan dan kebajikan rakyat yang hari ini berdepan dengan pelbagai kesukaran dan kesempitan melibatkan ekonomi, pengangguran, kos sara hidup dan harga barang yang meningkat,” katanya selepas mesyuarat itu.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Pada masa sama, Ahmad berkata, prosedur operasi standard (SOP) khas harus dibangunkan bagi membolehkan persidangan Parlimen dan DUN dilakukan seperti yang diamalkan di negara-negara seluruh dunia.

Beliau juga berkata, UMNO memutuskan untuk menghantar surat kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara bagi mendapatkan nasihat serta garis panduan untuk mengadakan pemilihan parti pada tahun ini.

Katanya, perkara itu selaras dengan peraturan yang termaktub di dalam Perlembagaan UMNO dan SOP COVID-19.

Ahmad berkata, bagi memastikan proses pemilihan parti yang bakal melibatkan mesyuarat perwakilan UMNO cawangan termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri di semua 191 Bahagian seluruh negara dapat diadakan dengan berkesan serta lancar dengan mengambil kira jumlah jangkitan COVID-19 yang meningkat.

Beliau berkata, mesyuarat turut mendesak melalui menteri-menteri UMNO agar kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat segala pendedahan kandungan buku tulisan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berikutan terdapat banyak laporan polis berhubung perkara itu. – Bernama

Tiada ulasan: