HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 April 2021

Khairy nafi beri arahan vaksin kepada sejumlah pekerja Kumpulan Genting

Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL
KHAIRY JAMALUDDIN

PUTRAJAYA: Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan beliau mengeluarkan arahan supaya sejumlah pekerja syarikat Kumpulan Genting Berhad diberikan vaksinasi Covid-19 seperti yang tular dalam laman sosial. 

Beliau berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Persekutuan hanya mengetahui tentang keputusan CITF negeri Pahang memberikan vaksin kepada pekerja-pekerja di sektor pelancongan di negeri itu selepas mereka memulakan vaksinasi kepada kumpulan tersebut. 

“CITF negeri memberi vaksin kepada pekerja di 56 buah hotel di Kuantan, Genting Highlands, Cameron Highlands, Jerantut, Raub, Mentakab, Bentong, Bukit Tinggi dan Bukit Fraser. 

“Keputusan pemberian ini dibuat apabila negeri Pahang telah selesai memberikan vaksinasi dos pertama (sementara menunggu selang masa bagi dos kedua) kepada kesemua penerima yang tersenarai dalam kumpulan keutamaan Fasa 1,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Khairy berkata, susulan kejadian itu, beliau menulis surat kepada Kerajaan Negeri Pahang pada 12 April lalu bahawa keputusan untuk menyenaraikan kumpulan awal penerima vaksin adalah di bawah bidang selia Jawatankuasa Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV). 

“Sehingga mana-mana kumpulan disenaraikan, keputusan senarai keutamaan terdahulu adalah terpakai,” katanya. 

Terdahulu, tersebar dalam laman media sosial satu dakwaan yang menyatakan sejumlah pekerja syarikat Kumpulan Genting menerima vaksinasi Covid-19 kononnya atas arahan menteri. – UTUSAN

Tiada ulasan: