HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 April 2021

Presiden UMNO sudah tidak boleh bersabar lagi, kata Tajuddin

AGENDA DAILYDatuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. 

Kritikan yang terlalu kuat kumpulan penentang dalam UMNO menyebabkan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah tidak boleh bersabar lagi dan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang dianggap sebagai musuh dalam selimut, kata Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu menyifatkan Zahid sebagai seorang yang penyabar walaupun pelbagai kecaman dibuat terhadapnya bagaimanapun apabila tiba masanya tindakan perlu diambil bagi menjaga parti daripada dirosakkan kumpulan yang tidak sehaluan.

“Selama ini, dia sabar. Kalau ikuti perkembangan ini, presiden ini sabar. Tapi sampai masa dia tak boleh lagi sabar. Kalau dia biarkan seolah-olah parti ini presidennya lemah, tidak boleh tangani masalah dalam parti.

“Jadi saya rasa memang sudah sampai masanya presiden menunjukkan ketegasan dalam kepimpinannya. Tiada yang salah,” katanya dipetik semasa Majlis Iftar Bersama Media dan Previu Video Raya Kumpulan Prasarana semalam.

Tajuddin juga menyokong tindakan diambil Zahid terhadap pemecatan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis.

“Apa nak dipertikaikan lagi? Reda saja. (Keputusan) itu tiada masalah. Bukan dia melanggar peraturan atau perlembagaan parti. Itu proses biasa,” katanya.

Tajuddin antara penyokong kuat Zahid walaupun sebelum ini terpalit dalam klip audio tular terlibat dalam pakatan sulit dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahid kini berdepan kritikan kuat susulan pendedahan klip audio tersebut, malah dilihat menjadi punca kepada perpecahan dalaman UMNO yang sedang berlaku ketika ini.

Pemecatan Shahidan juga dipercayai mempunyai kaitan dengan kritikannya terhadap Zahid yang mendesak supaya membuat pengakuan berhubung klip audio tersebut.

Shahidan juga mendakwa Zahid merancang secara senyap-senyap untuk menjalinkan kerjasama dengan Anwar walaupun semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ketetapan sudah dibuat dengan menolak sebarang bentuk kerjasama dengan parti pembangkang.

Zahid juga sebelum ini dikaitkan dengan surat sokongan terhadap Anwar yang ditandatangani bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kemudiaan dihantar ke Istana Negara.

Untuk rekod, kedua-dua mereka sehingga hari ini masih belum menafikan kesahihan surat sokongan yang dihantar ke Istana Negara tersebut.

Tiada ulasan: