HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 April 2021

Buang agenda peribadi dalam perjuangan politik Melayu - Syed Ali

Astro Awani
Buang agenda peribadi dalam perjuangan politik Melayu - Syed Ali
Syed Ali berkata, keretakkan perpaduan orang Melayu dan umat Islam boleh menjadi 
semakin parah serta merugikan masa depan rakyat serta negara. - Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR: Parti-parti politik yang berteraskan perjuangan orang Melayu seharusnya mengambil semangat Ramadan untuk berusaha mengukuh dan merapatkan saf permuafakatan tanpa dikongkong oleh agenda peribadi.
 
Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee berkata, sikap ego dan mendabik dada dengan kuasa yang ada harus dikikis kerana keretakan perpaduan orang Melayu dan umat Islam boleh menjadi semakin parah serta merugikan masa depan rakyat serta negara.
 
"Berpeganglah kepada ikatan ukhwah dan menjadikan roh Ramadan ini untuk semua pemimpin politik berlapang dada dan mencari titik persamaan walaupun berbeza ideologi politik, demi kepentingan Islam sepertimana yang dilaung-laungkan.
 
"Ini kerana musuh-musuh Islam sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menghancurkan perpaduan umat Islam termasuk menyelinap dalam gerakan politik dengan mencetuskan pelbagai isu keresahan, pertelingkahan dan permusuhan sesama sendiri," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Ahad.

Syed Ali sebelum ini meminta semua pihak khususnya pemimpin, penyokong dan pemain politik mengambil pendekatan untuk melakukan 'gencatan politik' sepanjang Ramadan ini.
 
Katanya, langkah itu penting bagi mengelak berlakunya perbuatan dan tutur kata yang boleh menjejaskan kesucian ibadat berpuasa menerusi hemburan kata fitnah, maki-hamun, mengumpat, berburuk sangka dan adu domba.
 
Dalam pada itu ujarnya, umat Islam diminta menggandakan pahala Ramadan dengan membayar fitrah dan zakat harta.
 
"Alhamdulillah tahap kefahaman dan kesedaran umat Islam semakin tinggi dengan kewajipan membayar zakat fitrah ini.
 
"Pelbagai kemudahan telah disediakan untuk urusan pembayarannya sama ada secara tradisional mahu pun secara atas talian.
 
"Ingin saya mengingatkan kepada semua, bulan Ramadan bukan kita hanya fokus kepada membayar zakat fitrah sahaja, malah penunaian ibadah zakat harta juga turut dituntut untuk dilakukan di bulan yang mulia ini," jelasnya.

Tiada ulasan: