HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 April 2021

"Saya berpegang pada kenyataan Setiausaha Agung UMNO bukannya 'Taj Mahal'" - Khairy

Abd Hadi Che Awang
"Saya berpegang pada kenyataan Setiausaha Agung UMNO bukannya 'Taj Mahal'" - Khairy
Menurut Khairy, anggota jemaah menteri dari UMNO hanya akan berpegang pada kenyataan yang dibuat Setiausaha Agung dan bukannya orang lain. - Gambar fail
 
KANGAR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menegaskan, beliau hanya akan berpegang kepada kenyataan yang dibuat Setiausaha Agung UMNO mengenai sebarang keputusan khususnya bagi menteri dan timbalan menteri dari parti itu untuk menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.
 
Menurutnya, setakat ini, tidak ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung tarikh sebenar untuk berbuat demikian.
 
Justeru, tegas Khairy, kenyataan yang dikeluarkan oleh ‘Taj Mahal’ iaitu merujuk kepada Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada awal bulan ini bahawa ahli-ahli parti itu yang sedang berkhidmat sebagai menteri akan melepaskan jawatan masing-masing menjelang Ogos depan adalah tidak selari dengan apa yang disebut Ahmad.
 
"Kita berpegang kepada kenyataan yang telah dibuat Setiausaha Agung UMNO (Ahmad Maslan) tidak sebut apa-apa tarikh (letak jawatan),
 
"Jadi yang bercakap pasal (bulan) Ogos ini (adalah) 'Taj Mahal', (iaitu) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman… jadi 'Taj Mahal' tak boleh cakap (mengenai letak jawatan), kita (menteri dan timbalan menteri) kena dengar (dan ikut kenyataan) Setiausaha Agung (UMNO)," jelas Khairy.
 
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 (PPV) Dewan 2020, di sini pada Selasa.
 
Awal bulan ini, Tajuddin berkata, kesemua pemimpin UMNO yang kini sedang berkhidmat sebagai menteri, timbalan menteri dan pengerusi di beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan melepaskan jawatan masing-masing menjelang Ogos depan.
 
Dalam wawancara bersama sebuah portal berita tempatan itu, Tajuddin turut menegaskan UMNO membuat keputusan pada Perhimpunan Agung lalu untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada bulan yang sama jika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih gagal membubarkan Parlimen.

Tiada ulasan: