GEORGETOWN: Golongan pendidik menyifatkan tidak wajar mendesak Menteri Pendidikan dan dua timbalannya meletakkan jawatan seperti gesaan beberapa pihak yang tular dalam laman sosial ketika ini.
Menurut pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad, desakan sebegitu tidak membantu menangani isu Covid-19 di sekolah, sebaliknya mengganggu dan melambatkan usaha-usaha baharu yang mungkin sedang dirancang oleh kementerian berkenaan .
Katanya, dengan jumlah kluster pendidikan yang masih aktif iaitu hampir 50 dan melibatkan kira-kira 3,000 warga sekolah, tindakan berbaur politik seperti desakan supaya menteri meletakkan jawatan tidak seharusnya disokong.
“Apa yang lebih diharapkan ketika ini adalah supaya kepimpinan KPM lebih proaktif dalam usaha mereka dan tidak boleh membiarkan desakan politik mengalih tumpuan dan fokus KPM dalam usaha menyelesaikan isu kluster sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau mengulas gesaan khususnya dalam media sosial yang mendesak Menteri Pendidikan dan dua timbalannya meletakkan jawatan susulan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan melibatkan sektor pendidikan ketika ini.
Menurut Anuar, beliau bagaimanapun mengakui ibu bapa khususnya bimbang mengenai keselamatan anak-anak mereka yang perlu hadir ke sekolah apatah lagi dengan peningkatan kluster pendidikan yang dilaporkan ketika ini.
Jelasnya, ibu bapa berhak untuk mengetahui usaha komprehensif yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kementerian dalam menangani peningkatan kes baru kluster sekolah tersebut sekali gus dapat meredakan kebimbangan mereka.
“Adalah didapati sikap kementerian yang seperti mahu berdiam diri tanpa membuat sebarang kenyataan media sebenarnya tidak membantu.
“Kementerian sepatutnya ke hadapan dalam menangani isu kebimbangan ibu bapa ini dan sikap berdiam diri sebenarnya menjadikan keadaan lebih tidak menentu dan meningkatkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan