Kata Meor Hilmi, sejak bilakah rakyat yang meminta sistem demokrasi berjalan seperti amalan biasa dalam negara ini, dengan membuka kembali Dewan Parlimen bagi membolehkan Ahli Parlimen bersidang dan membincang isu rakyat wajar dilabelkan sebagai pelampau politik?
“Kita melihat Pas hari ini nampak selesa dalam gabungan kerajaan PN kita nak mengingatkanlah, kuasa di tangan itu adalah amanah Allah yang mana ia perlu dilaksana dan dijaga dengan sebaiknya sebagai cerminan pemimpinan yang bertaqwa,” kata Meor Hilmi dalam kenyataannya kepada SUARA MERDEKA hari ini.
Meor Hilmi mendakwa, Kerajaan hari ini yang diterajui sebahagiannya oleh Pas telah bertindak membuat pinjaman dari Januari 2021 sehingga 21 April 2021 sebanyak RM75 bilion.
“Dan angka ini terus meningka. Jadi, tidak termasuk RM5.4 bilion pinjaman asing melalui Sukuk Hijau yang dibuat minggu lepas.
“Pada masa yang sama, kerajaan hari ini yang disertai oleh Pas juga, telah menyatakan hasrat untuk menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) selain mendapat hasil dari penjualan beberapa aset negara kononnya bagi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Sebelum ini kerajaan yang disertai Pas yang mengusai negara juga telah membelanjakan lebih RM600 bilion yang merangkumi pakej stimulus RM340 billion.
“Dan RM322 bilion bagi belanjawan negara ditambah pula RM20 bilion lagi yang diumumkan pada 22 Mac 2021 pakej stimulus yang baru – PEMERKASA,” kata Meor Hilmi lagi.
Justeru, tambah beliau, Perdana Menteri Tan Sri Muhiddin Yassin juga telah mengumumkan bahawa kerajaan sudah tiada dana.
“Hutang negara juga telah mencecah 879.6 bilion iaitu 62.2% dari nilai KDNK negara tahun 2020 dan angka peratusan ini bakal terus meningkat lagi pada tahun 2021,” katanya.
Sehubungan itu, kata Meor Hilmi, Wira PUTRA menegaskan pada Presiden Pas bahawa Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Nasional yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang baru adalah sekitar RM2,208 berbanding RM980 yang diguna pakai sejak 2005.
Ini, kata Meor Hilmi lagi menunjukkan bahawa jumlah isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin telah meningkat sekitar 405,441 isi rumah berbanding 16,653 orang jika digunakan angka nilai sebelum ini.
“Dalam keadaan ekonomi dan taraf hidup rakyat, sedarlah bilangan isi rumah yang telah jatuh menjadi miskin telah meninggkat dengan begitu mendadak.
“Ya, Covid-19 memang boleh membawa maut namun pada masa yang sama, bilangan rakyat yang bakal “maut” akibat taraf hidup rakyat yang semakin mendesak dan menghimpit perlu diberikan perhatian,” tegas beliau.
Wira PUTRA, kata Meor Hilmi, mendesak agar sidang Dewan Rakyat diadakan segera bagi ahli-ahli dewan yang terdiri daripada kerajaan dan pembangkang, membincangkan isu rakyat dan negara agar ekonomi rakyat dan negara menjadi lebih baik. – SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan