WAWANCARA | Adun Pekan Nanas Yeo Tung Siong percaya DAP mampu memenangi hati pengundi Melayu tanpa perlu dilihat "merendah-rendahkan" parti itu sendiri.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Yeo mengimbau pengalamannya di kawasan orang Melayu, ketika kali pertama bertanding sebagai calon DUN di Johor pada PRU13, lapan tahun lepas.
“Kain rentang hilang atau dirosakkan - diconteng dengan lukisan tanduk dan taring syaitan.
"Naratifnya ketika itu adalah, DAP ini jahat,” kata bekas guru itu yang menyifatkan imej contengan tersebut masih jelas di fikirannya sehingga kini.
Semasa berkempen di sebuah kampung Melayu, kata Yeo, ada seorang penduduk yang menempelaknya kerana dikatakan hanya muncul semasa pilihan raya bagi menghasut pengundi untuk menyokong DAP.
Meskipun berdepan cabaran demikian, Yeo berjaya menumpaskan MCA yang menyandang kerusi itu sejak ia diwujudkan pada 2004. Dia meraih 53 peratus undi di kawasan campur bermajoriti Cina itu, dengan majoriti 2,669 undi.
Pada masa itu, Pekan Nanas terdiri daripada 58 peratus pengundi Cina manakala pengundi Melayu pula seramai 39 peratus.
Pun begitu, persempadanan semula sebelum PRU 2018 menyebabkan Pekan Nanas menjadi kawasan campur bermajoriti Melayu - iaitu 54 peratus pengundi Melayu, 45 peratus p engundi Cina dan satu peratus pengundi India.
Bagaimanapun Yeo masih mampu mempertahankan kemenangannya dengan majoriti 1,308 undi. Dia mendapat 52 peratus daripada undi di Pekan Nanas.
Undi Melayu terhadapnya juga meningkat lebih 25 peratus.
Hapuskan perseteruan, raih kepercayaan
Menurut Yeo, bagi memenangi hati dan fikiran orang Melayu, dia bekerja keras di lapangan.
“Lama kelamaan, mereka (pengundi Melayu) mula mahu bercakap dengan saya. Tahun ini, saya hadir ke pengebumian seorang penghantar makanan Foodpanda yang meninggal dunia akibat kemalangan.
“Ayahnya beritahu hasrat terakhirnya, iaitu untuk mengecat semula gerbang masuk ke kampung. Jadi kami gotong-royong mengecat semula struktur itu.
“Ayah dia ahli Umno. Tak kiralah siapa pun orang itu, hubungan boleh dibina apabila kita berkomunikasi antara satu sama lain. Ia meleraikan segala prasangka,” tambahnya.
Yeo menceritakan satu lagi peristiwa, ketika dia membangkitkan masalah seorang isteri kepada peniaga warung yang mengidap kanser di media sosialnya.
"Ketika saya ke warungnya, saya terserempak dengan anak saudara peniaga itu yang datang dari Johor Bahru. Dia beritahu saya dapat tahu tentang penyakit ibu saudaranya itu melalui Facebook saya," katanya.
Kata Yeo, bagi memenangi kepercayaan pengundi Melayu, apa yang penting adalah menghapuskan sebarang rasa perseteruan.
“Jika kawasan itu menyimpan kebencian (terhadap DAP), tak guna kalau anda edar 10 juta risalah sekalipun. Lepas berusaha setengah abad pun, anda tak akan capai apa-apa.
“Beberapa tahun kebelakangan ini, saya pergi ke banyak tempat. Orang yang saya temui, jemput saya ke rumah mereka, hidangkan saya minuman. Mereka mungkin tak akan undi saya, tapi mereka tidak lagi bermusuh terhadap (terhadap ahli politik DAP),” katanya lagi.
Sokong strategi lautan biru
Bagi Yeo, DAP yang kini sedang menyaksikan perdebatan dalaman susulan kenyataan Adun Sungai Pelek Ronnie Liu bahawa ia harus melindungi kecinaannya, harus meningkatkan usaha untuk meraih sokongan masyarakat Melayu.
Yeo menyokong hala tuju strategi lautan biru parti itu, dan tanpa strategi itu, katanya, sokongan yang diraih DAP akan merosot.
Katanya, banyak kerusi majoriti Cina akan bertukar menjadi kerusi bercampur dalam masa 10 tahun, bahkan mungkin menjadi kerusi majoriti Melayu dalam masa 20 tahun.
“Tanpa memahami denyut nadi pengundi Melayu, (sokongan) DAP akan merosot. Sekian lama kawasan Melayu sentiasa menjadi kelemahan terbesar DAP.
“Kita mesti atasi (kelemahan) ini. Kamu boleh bercakap tentang 'Hua Sha' (cauvinis Cina) dan 'Ying Sha' (cauvinis Inggeris), tapi kata hati saya adalah, masyarakat Melayu beri tumpuan terhadap apa yang ahli politik buat,” tambahnya.
Cauvinis Cina dan cauvinis Inggeris adalah label yang diberikan untuk dua kelompok dalam DAP, antaranya berdasarkan latar belakang pendidikan dan bahasa.
Yeo turut menyuarakan bantahannya terhadap amalan DAP mengetengahkan "calon payung terjun" dalam pilihan raya - merujuk calon pilihan raya yang lazimnya tidak tinggal dan mempunyai hubungan lemah di kawasan ditandinginya.
Kata Yeo, dalam keadaan-keadaan tertentu, seperti ketika gelombang politik semasa PRU 2013 dan 2018, amalan itu boleh difahami apabila parti mahu melihat lebih ramai “calon yang baik” berjaya ke Parlimen atau DUN.
Tetapi, dalam situasi yang tidak menyebelahi parti, sementara calon pula bukanlah calon ‘boleh menang’, dia harus berusaha keras untuk masa yang lama bagi meraih undi di suatu kawasan.
“Adakah calon payung terjun ini mampu kekal menyelesaikan tugasnya? Apa pula tanggapan akar umbi tentang ini? Apakah mereka akan fikir calon-calon ini hanya muncul ketika pilihan raya, dan hilang selepas itu?” soalnya.
Yeo menggesa kepemimpinan DAP supaya berwaspada dalam hal tersebut. Katanya, senario seumpama itu mengecewakan pengundi dan akar umbi, dan membawa kepada perselisihan.
Pada PRU 2013, nama-nama besar DAP seperti Lim Kit Siang, Liew Chin Tong dan Teo Nie Ching berpindah daripada kawasan parlimen asal mereka di negeri lain, untuk bertanding di Johor. Ketiga-tiganya menang.
Pada 2018, Liew, yang merupakan pengerusi DAP Johor, berpindah lagi. Dari Kluang, dia bertanding di Ayer Hitam menentang presiden MCA Wee Ka Siong. Liew tewas dengan perbezaan hanya 303 undi.
Yeo, yang juga penolong setiausaha organisasi DAP Johor, dilihat berada dalam kem berbeza daripada Liew, yang dikatakan akan dicabar dalam pemilihan parti negeri pada 2 Mei nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan