MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR – Selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sanggup bersumpah menafikan pernah berjumpa dengan pemimpin UMNO untuk berbincang mengenai kerjasama politik, seorang pemimpin PKR juga menegaskan kemungkinan berlaku kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan UMNO adalah tipis.
Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, peluang untuk PH dan UMNO bekerjasama dalam satu “pakatan yang sama” menjelang pilihan raya adalah sangat tipis, malahan tidak mungkin.
Walau bagaimanapun, Lih Kang tidak menolak kemungkinan berlaku “persefahaman” di kawasan tertentu bagi mengelakkan perang tiga segi.
“Bukan sahaja dengan UMNO, tetapi persefahaman ini adalah mungkin dengan mana-mana parti politik,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.
Katanya, peluang kerjasama dengan UMNO adalah tipis kerana masing-masing enggan bertolak ansur dalam isu tertentu, termasuk dalam soal calon Perdana Menteri.
“Yang pasti, kami akan bertembung dalam medan perang semasa pilihan raya.
“Ia juga sangat mencabar kebijaksanaan untuk kami bekerjasama dalam bidang yang terhad.
“Hakikatnya, keadaan politik sudah berbeza dengan ketiadaan satu parti politik yang mampu menguasai semua sumber kerajaan,” kata Ahli Parlimen Tanjung Malim itu.
Menurutnya, PKR setakat ini belum mempunyai apa-apa hubungan kerjasama dengan UMNO, walaupun PH memberi restu kepada presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang dengan parti-parti politik, termasuk UMNO dan parti dari Borneo.
“Perbincangan masih di peringkat awal dengan melihat sama ada wujud peluang kerjasama.
“Maklumat lebih teliti dan syarat kerjasama belum lagi dibincangkan,” katanya.
Dalam pada itu, Lih Kang turut mengakui kerjasama dengan Pejuang dan Warisan bukan sesuatu yang mudah.
“Masing-masing Pejuang dan Warisan telah beberapa kali berkata mahu menjadi kuasa ketiga dan ‘kingmaker’, satu keadaan yang tidak menguntungkan perbincangan dengan PH.
“Mereka mahu PH memberi laluan di kerusi tertentu untuk mengelakkan pertembungan, tetapi kami juga perlu mengambil kira kemungkinan mereka tidak mahu bekerjasama dengan kami selepas menang kerusi berkenaan,” katanya.
Menurut Lih Kang, Anwar ada berhubungan dengan Muda, tetapi bukan dengan Warisan dan Pejuang pada masa ini.
Sementara itu, Guan Eng ketika merasmikan persidangan tahunan DAP Wilayah Persekutuan menegaskan beliau tidak pernah bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membincangkan kerjasama politik.
Guan Eng dilaporkan sanggup bersumpah sekiranya perwakilan DAP tidak mempercayai kenyataannya itu. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan