HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 April 2021

Ambil tindakan disiplin orang sokong Anwar – Shahidan

Dilantik Pengerusi PR1MA

“LEMBAGA Disiplin UMNO perlu mengambil tindakan kepada orang yang menulis surat menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia jelas melanggar keputusan parti iaitu ‘No Anwar, No DAP, No PKR’.”

Demikian desakan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang turut menegaskan tindakannya terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertepatan dengan keputusan dilakukan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, baru-baru ini.

Pada masa sama, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau turut mendedahkan terdapat usaha untuk menyokong Anwar telah digerakkan semasa Sidang Dewan Rakyat diadakan sebelum ini.

“Lembaga Disiplin tak boleh berdiam diri untuk ambil tindakan kepada mereka yang langgar keputusan parti terutama libatkan ‘No Anwar, No DAP, No PKR’. Kita dapati ada satu surat yang ditulis Presiden (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Surat itu kita semua diam sebab kita nak jaga perhubungan harmoni tetapi hari ini saya terpaksa timbulkan balik kerana ia melanggar keputusan parti.

“Ada lagi keputusan terbaharu iaitu No Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tetapi itu masa Pilihan Raya Umum (PRU), bukan sekarang. Sekarang ini kita harus sokong dan kerjasama dengan kerajaan PN. Bila dah sampai PRU, parti buat keputusan tolak PN, saya ikut,” katanya dalam sidang akhbar malam tadi.

Semalam, Ahmad Zahid dalam satu kenyataan memaklumkan pertukaran jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis dengan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menggalas amanah itu menggantikan Shahidan.

Mengulas mengenai gerakan menyokong Anwar, Shahidan yang telah lama menyimpan isu itu berkata akan menjelaskan selepas Aidilfitri.

Hal demikian, kata Shahidan kerana UMNO masih merupakan parti yang kuat dan tidak mahu diperkotak-katikkan pelbagai pihak walaupun sedang berdepan masalah.

“Kita cakap lepas raya nanti. Sebenarnya saya mengetahui banyak benda tetapi saya simpan untuk jaga keharmonian parti.

“Kalau saya tak dedahkan pun, saya akan tulis dalam tesis saya kerana tiada siapa akan pertikaikan. Banyak yang tersimpan, kita akan cerita kemudian,” kata beliau.

Shahidan turut berpandangan Pemilihan UMNO perlu diadakan mengikut jadual dan tidak boleh ditangguh apatah lagi parti itu sedang berhadapan dengan krisis kepemimpinan.

“Krisis kepemimpinan telah berlaku dalam UMNO. Cara terbaik adalah adakan pemilihan mengikut Perlembagaan iaitu pada akhir Jun. Tak boleh tangguh.

“Apa yang berlaku tak menambahkan kebaikan kepada parti tetapi tambahkan luka kerana dalam keadaan sekarang parti perlukan kekuatan dengan bersatu-padu, bukannya berpecah-belah,” jelasnya.

Tiada ulasan: