HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 April 2021

Zahid dengan angkuhnya tolak hasrat PAS jadi orang tengah

AGENDA DAILY

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seolah menunjukkan keangkuhan parti UMNO yang dipimpinnya, dengan memperkecilkan PAS hanya sebuah parti kecil yang hendak bekerjasama dengan parti besar.

Beliau turut memberi isyarat menolak hasrat PAS yang mahu menjadi orang tengah bagi menyelesaikan pertelingkahan antara UMNO dan Bersatu.

Katanya, keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dibuat oleh akar umbi parti semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU), bukan keputusan beliau sendiri walaupun rahsia pakatan sulitnya dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbongkar susulan tular klip audio perbualan antara kedua-dua pemimpin itu.

Dalam kenyataannya semalam, Zahid yang berdepan kes mahkamah atas 47 tuduhan jenayah berkata, perkara yang diputuskan itu tidak boleh lagi dibawa berbincang di meja rundingan dengan mudah.

“Saya berharap pihak yang berkeyakinan tinggi itu faham. Lagipun mereka juga perlu faham bahawa kerjasama Muafakat Nasional sudah dibentuk ketika orang Melayu dan Islam diinjak-injak semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Gabungan itu pada masa itu adalah tulen, jujur dan penuh semangat. Dan kerjasama berkenaan melibatkan antara 3 juta ahli bersama sejuta ahli. Bukannya kerjasama antara sejuta ahli dengan 500 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kesediaan Dewan Ulama PAS Pusat untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kemelut UMNO dan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Rabu lalu, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pihaknya boleh mengatur perjumpaan UMNO dan Bersatu bagi mencari titik pertemuan yang boleh menyelesaikan kemelut dihadapi.

Bagaimanapun, Agenda Daily difahamkan Zahid boleh mempengaruhi Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk mengubah sebarang keputusan PAU sama ada untuk berbaik dengan Bersatu atau mengekalkan keputusan sedia ada.

Zahid dan MT boleh menggunakan Fasal 9.1 Perlembagaan UMNO, di mana MT berkuasa menjalankan apa-apa langkah bagi pihak perhimpunan agung, dengan syarat langkah ini dimaklumkan semula kepada perhimpunan agung berikutnya.

Pada hari terakhir PAU itu juga, perwakilan bersetuju untuk memberikan mandat kepada presiden dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menentukan tarikh penarikan diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kerajaan PN dianggotai oleh Bersatu, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP), dan Gerakan. Bagaimanapun, beberapa pemimpin kanan UMNO dilantik menganggotai Kabinet diketuai Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Tiada ulasan: