HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 April 2021

Akar umbi tolak Anwar, tapi Presiden mahu pula: Ismail Mohamed

AGENDA DAILY

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Seorang Ahli Parlimen UMNO, Datuk Seri Ismail Mohamed Said menegaskan akar umbi menolak keras kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun terdapat usaha di peringkat atasan parti yang cuba pakatan sulit secara senyap-senyap.

Ismail Mohamed berkata UMNO tidak akan dapat menerima Anwar sebagai rakan kerjasama politik memandangkan Presiden PKR tersebut terpaksa bergantung kepada DAP untuk membentuk kerajaan dan sehingga kini orang Melayu tetap menolaknya.

“PKR tidak dapat membentuk kerajaan tanpa sokongan DAP dan walaupun tidak dijanjikan habuan seperti jawatan menteri kepada tokoh parti berkenaan, Anwar tetap ditolak orang Melayu,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Jelas Ahli Parlimen Kuala Krau, sukar untuk mengubah pemikiran dan tanggapan orang Melayu yang melihat DAP sebagai musuh politik, malah beliau yakin masyarakat Melayu tidak akan terpedaya dengan mainan politik Anwar.

“Orang Melayu puluhan tahun berjuang menganggap DAP musuh politik sejak dulu kini dan selamanya tidak mudah terpedaya dengan mainan politik Anwar,” katanya lagi.

Ismail Mohamed semalam menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 8,864 penerima dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka di Wisma Peneroka.

UMNO ketika ini sedang bergolak ekoran pendedahan satu klip audio perbualan pakatan sulit antara Anwar dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berdepan tekanan daripada banyak pimpinan parti yang tidak berpuas hati dengan perbualan yang terdedah tersebut dan menyifatkan ia satu pengkhianatan kepada parti.

Tiada ulasan: