HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 April 2021

Tak mustahil Zahid juga antara calon PM selepas Muhyiddin, kata penganalisis

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun berdepan pendakwaan di mahkamah dan kritikan dikalangan pemimpin dalam parti diketuainya sendiri, penganalisis politik tidak menolak Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi antara calon perdana menteri (PM) yang layak dipertimbangkan bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, dinamika semasa politik negara sentiasa berubah-ubah dan meskipun Zahid dianggap sebagai calon ‘underdog’ disebabkan banyak terpalit dengan kontroversi, ia bukan sesuatu yang mustahil sekiranya pemimpin nombor satu UMNO tersebut ditabalkan sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum nanti.

“Begitu ketika sekarang ramai dilihat cuba memperlekehkan Zahid sebagai calon perdana menteri selaku Presiden UMNO.

“Pihak yang cuba meminggirkan dan memperlekehkan Zahid perlu sedar nasib politik Zahid dalam keadaan kurang dalam radar politik negara dengan pelbagai tuduhan boleh berubah berdasarkan situasi politik semasa dan takdir politik boleh yang dianggap kelam boleh bertukar cemerlang dan mengambil tempat serta kedudukan.

“Tiada siapa dapat meneka dengan tepat seperti pernah berlaku dalam konteks Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kurang dalam radar politik arus perdana sebelum ini,” katanya kepada Agenda Daily hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada Zahid masih sesuai menjadi calon perdana menteri daripada UMNO, rentetan dakwaan mahkamah yang membelenggu orang nombor satu UMNO itu.

Tambahnya, dalam politik apa-apa sahaja boleh berlaku, kerana tiada siapa dapat jangka secara tepat takdir politik seseorang ahli politik, sebagai contoh nasib yang menimpa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebelum ini ramai menjangka Anwar akan ambil alih kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana semua sudah dipersetujui dalam perjanjian PH sebelum PRU lagi.

“Meskipun sudah ada perjanjian bertulis, namun perjanjian ini dikhianati dan Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan tiba-tiba tanpa berunding dengan komponen PH,” tegasnya.

Dalam pada itu jelasnya lagi, tiada siapa juga menjangka Muhyiddin dapat menjadi PM kerana sebelum ini dilihat tak ada kelebihan berbanding Anwar.

“Namun takdir politik menentukan Muhyiddin jadi PM,” katanya lagi.

Pada awal bulan lalu, nama Zahid kembali terpalit kontroversi apabila satu klip audio tular pakatan sulit dengan Anwar selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) lalu.

Rentetan itu wujud desakan dari dalam parti yang mahukan Zahid segera membersihkan namanya selain tuntutan supaya beliau melepaskan jawatan.

Malah, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan ketika berbicara berhubung calon perdana menteri seolah-olah memberi bayangan bahawa beliau tidak yakin untuk meletakkan presiden parti sendiri, Zahid sebagai calon perdana menteri.

Dalam kenyataanya itu, Shahril membayangkan UMNO mempunyai ramai calon perdana menteri secara tidak langsung mengakui bahawa parti itu tidak ada keyakinan penuh terhadap Zahid.

Tiada ulasan: