AGENDA DAILY
Berkemungkinan bukan Datuk Seri Shahidan Kassim seorang sahaja yang dipecat, khabar angin semakin kuat mengatakan seorang lagi pemimpin UMNO juga bakal dikenakan tindakan sebelum mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang akan berlangsung esok.
Daripada maklumat sumber dalaman, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang merancang untuk mengambil tindakan terhadap bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang juga dikenali sebagai pengkritik utamanya dalam parti.
“Selepas Shahidan, kemungkinan Annuar Musa juga akan mengalami nasib sama… mungkin tindakan lebih tegas,” kata sumber.
Bagaimanapun sumber tidak menjelaskan bentuk hukuman yang akan diambil terhadap Annuar memandangkan sudah pun dipecat sebelum ini ketika memegang jawatan Setiausaha Agung BN.
Annuar antara paling lantang menentang Zahid yang didakwa sedang merancang untuk membawa UMNO bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
Malah, terbukti Zahid dan Anwar mempunyai pakatan sulit selepas tular klip audio perbualan antara kedua-dua pemimpin itu baru-baru ini.
Terdahulu, Zahid memecat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkuat kuasa hari ini.
Dalam kenyataan ringkas menggunakan kepala surat presiden, Zahid berkata, Shahidan digantikan Datuk Seri Azlan Man yang juga Menteri Besar Perlis.
Tindakan Zahid itu dilihat sebagai langkah untuk menutup mulut pengkritiknya dalam mesyuarat MKT esok di mana Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri juga menjadi anggotanya.
Dipercayai Zahid mengambil tindakan itu mengikut Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO yang menyebut ‘Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan hendaklah dilantik oleh Presiden yang mereka memegang jawatan masing-masing selama tempoh Majlis Tertinggi tetapi boleh berhenti atau diberhentikan oleh Presiden pada bila-bila masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan