HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 April 2021

Zahid terdesak, majoriti UMNO Perlis tolak Azlan

 AGENDA  DAILY

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin menolak kepemimpinan Datuk Seri Azlan Man.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin memperlekeh dan menolak Datuk Seri Azlan Man yang dilantik memimpin parti itu pada peringkat negeri berkuat kuasa hari ini.

Beliau menyifatkan Menteri Besar Perlis itu tidak layak sama sekali memimpin parti peringkat negeri selepas melihat prestasi Azlan yang memimpin UMNO Bahagian Kangar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Bagaimana Azlan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kangar yang menyaksikan Parlimen dan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri di kawasan berkenaan kalah dalam PRU-14 boleh dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.

Beliau juga berkata, tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyingkirkan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai langkah yang cukup terdesak dan tidak masuk akal.

“Kami menolak keras pelantikan Azlan. Langkah Zahid melantik Azlan hanya bakal menjahanamkan UMNO negeri. Kami UMNO Padang Besar dan Arau menyatakan pendirian jelas menolak pelantikan Azlan,” katanya sebagaimana dilaporkan Utusan Online, hari ini.

Susulan kenyataannya, Zahidi – satu-satunya wakil Perlis dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin – bakal tersingkir daripada menduduki jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Perlis.

Azlan tidak menolak kemungkinan akan melakukan rombakan pada peringkat perhubungan negeri tidak lama lagi.

Semalam, Zahid mengumumkan Shahidan yang menjadi salah seorang pengkritik kepemimpinannya, dipecat daripada jawatan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis – satu tindakan yang menghalang Ahli Parlimen itu daripada menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO hari ini.

UMNO bahagian Arau yang dipimpin Shahidan juga menolak Azlan kerana dianggap datang daripada kawasan yang kalah teruk dalam PRU lalu.

Tiada ulasan: