HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 April 2021

Bukankah sudah banyak wang diperuntukkan untuk vaksin? – Zahid

MGF23112020_OWHMG-ZAHID16
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 1988 (Akta 339) bagi menggunakan dana negara untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi Covid-19 tanpa kelulusan Parlimen menimbulkan persoalan.

Persoalannya, bukankah sudah banyak wang negara diperuntukkan untuk itu sebelum ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertanya, bukankah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pernah memaklumkan RM3 bilion wang negara yang diperuntukkan dalam Bajet 2021 mencukupi bagi perolehan vaksin.

Malah, pada ketika itu, kerajaan PN pernah memberi amaran kepada mana-mana rakyat yang mendakwa peruntukan RM3 bilion itu tidak mencukupi akan dikenakan tindakan undang-undang.

Tambahnya, tidak lama selepas itu kerajaan PN umum meningkatkan lagi peruntukan untuk pelaksanaan vaksin Covid-19 di negara ini kepada RM5 bilion.

”Kini wang negara dalam KWAN pula mahu digunakan selepas banyak aset negara dijual, manakala kadar keberhutangan negara ditambah.

”Kita khuatir keadaan ini boleh menimbulkan kemarahan dan syak wasangka serta curiga dalam kalangan rakyat.

”Apapun ini antara akibat Parlimen digantung. Tiada proses semak dan imbang dilakukan terhadap perbelanjaan wang negara oleh kerajaan PN.

”Bagaimana perinciannya, kewajarannya dan segalanya,” soal Ahmad Zahid.

Beliau berkata, dana KWAN adalah dana yang dikumpul oleh kerajaan Barisan Nasional sejak sekian lama sebagai sumber pendapatan berterusan dan stabil untuk rakyat serta negara.

Dana itu diperoleh daripada sumbangan pihak yang terlibat dalam sumber alam semulajadi negara yang boleh menyusut seperti Petronas.

”Dalam bahasa mudah KWAN ibarat tabung simpanan negara yang digelar sebagai “white knight” ekonomi Malaysia,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: